arena

De Bruyne 'jurutera' Citizens

Oleh AFP

MANCHESTER, England: Pep Guardiola menyatakan Manchester City bertuah memiliki Kevin De Bruyne selepas pemain tengah Belgium itu mencetus inspirasi kemenangan besar 5-0 ke atas pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Liverpool.

De Bruyne mencipta gol buat Sergio Aguero dan Gabriel Jesus dan turut membantu gerakan dua gol Leroy Sane ketika City mencatat kemenangan terbesar ke atas Liverpool sejak Mac 1937.

Perlawanan itu lebih diselubungi insiden penyerang Liverpool, Sadio Mane dibuang padang pada minit ke-37 kerana menyepak kepala penjaga gol Manchester City, Ederson dengan butnya namun Guardiola lebih memberikan tumpuan kepada De Bruyne.

“Kevin amat cemerlang,” kata pengurus City itu ketika sidang media selepas perlawanan di Stadium Etihad, semalam.

“Dengan kualitinya, komitmennya tanpa bola. Dia belajar, dia amat bijak. Anda berikan satu arahan dan dia terus memahaminya.

“Dia menghasilkan banyak hantaran dan bantuan untuk menjaringkan gol. Musim lalu dia melakukan 15 atau 16 percubaan yang terkena palang gol. Kami tidak bernasib baik. Harapnya tahun ini dia boleh membantu kami.

“Dia pantas, dia sering melihat ruang antara tengah atau sayap. Dia berlari lebih kerap berbanding pemain lain. Dia bagus ketika memegang bola, dia bagus ketika mencari ruang menyerang.

“Dia seorang pemain lengkap. Dia suka berada di sini bersama kami. Kami pasukan yang bertuah, kelab bertuah mempunyai Kevin bersama kami.

“Musim ini anginnya bagus, mungkin kerana dia sudah menjadi seorang bapa. Dia seorang daripada kapten kami. Saya amat gembira dengan persembahannya dan bukan hanya hari ini.”

Hantaran De Bruyne menyaksikan Aguero menggelecek penjaga gol Simon Mignolet untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-24 dan hantaran lintangnya dari kiri ditanduk masuk Jesus pada masa kecederaan babak pertama.

Disiarkan pada: September 10, 2017 @ 12:19pm
d