arena

Ledak gol, tutup mulut penyokong Gunners

Oleh AFP

LONDON: Arsene Wenger meminta Alexis Sanchez menampilkan aksi terbaik di tengah padang dan melenyapkan ejekan penyokong Arsenal yang mencemuhnya ketika menang 3-0 ke atas Bournemouth dalam Liga Perdana Inggeris, semalam.

Sanchez hampir berpindah pada hari terakhir jendela perpindahan ke Manchester City namun Arsenal menolak tawaran itu selepas mereka gagal mendapatkan pemain AS Monaco, Thomas Lemar sebagai penggantinya.

Penyerang Chile itu akan tamat kontrak hujung musim ini sekali gus meninggalkan Stadium Emirates secara percuma.

Wenger menegaskan sepanjang musim panas lalu beliau lebih suka senario itu berlaku berbanding menjual bekas pemain Barcelona itu walaupun pada hujung jendela perpindahan beliau mula berlembut.

Sanchez diletakkan di bangku simpanan berdepan Bournemouth ketika Danny Welbeck meledak dua gol dan Alexandre Lacazette juga menemui sasaran bagi membantu Arsenal kembali ke landasan baik selepas dua kekalahan sebelum rehat perlawanan antarabangsa.

Sanchez dimasukkan menggantikan Welbeck pada hujung perlawanan dengan reaksi pelbagai dengan sebahagian penyokong mengejek namanya - mungkin kecewa dengan keinginannya untuk ke City.

“Kami boleh menjangkakan tindak balas mereka,” ujar Wenger apabila ditanya mengenai reaksi negatif itu.

“Saya tidak tahu kenapa (adanya ejekan). Cara terbaik membuatkan mereka menyokong anda adalah dengan beraksi baik.

“Saya bercakap dengannya selepas perlawanan dan dia nampak tidak gembira. Mungkin kerana dia mahu menjaringkan gol.”

Disiarkan pada: September 10, 2017 @ 1:35pm
d