arena

Martina teruja ungguli Terbuka AS bersama Yung Jan

Oleh AFP

NEW YORK: Martina Hingis menyatakan dia teruja selepas merangkul kejuaraan Grand Slam ke-25 kariernya apabila berganding dengan pemain Taiwan, Chan Yung Jan untuk memenangi kejuaraan beregu wanita Terbuka AS, awal pagi tadi.

Bintang Switzerland itu, yang menyambut hari jadi ke-37 hujung bulan ini, menang gelaran beregu wanita Grand Slam ke-13 apabila dia dan Yung Jan menewaskan beregu Republik Czech, Lucie Hradecka dan Katerina Siniakova 6-3, 6-2.

Dalam acara Grand Slam, Martina turut menang lima kejuaraan perseorangan dan tujuh beregu campuran, terbaru hadir awal pagi kelmarin apabila berganding dengan pemain Britain, Jamie Murray pada kejohanan permukaan gelanggang keras New York itu.

“Saya fikir ia mungkin mengambil masa lama sikit buat saya untuk menerima hakikat ini. Tidak ketika ini,” kata Martina. “Tapi ya, 25 kelihatan amat mengagumkan. Sudah tentu saya amat bangga.

“Apa yang saya lakukan dalam karier saya sebelum ini, saya amat bangga mengenainya. Saya terlalu muda. Ia sudah 20 tahun, kadang-kadang bermain kadang-kadang tidak.”

Martina menjuarai gelaran perseorangan Terbuka Australia, Wimbledon dan Terbuka AS pada 1997 selain Terbuka Australia pada 1998 dan 1999.

Ditanya sama ada dia memikirkan untuk menimbang kembali beraksi dalam acara perseorangan, Martina menolak idea itu dan menyatakan dia banyak bergantung kepada gandingannya.

“Tidak, terima kasih. Saya bertindak baik dalam acara beregu wanita dan campuran. Saya mempunyai beberapa pasangan hebat yang boleh diharap,” katanya.

Disiarkan pada: September 11, 2017 @ 10:51am
d