arena

De Boer dihimpit kekalahan

Oleh AFP

LONDON: Frank de Boer berazam untuk terus memperjuangkan masa depannya selepas kekalahan 0-1 di tangan Burnley semalam meningkatkan tekanan buat pengurus Crystal Palace itu manakala Newcastle memberikan suntikan semangat kepada bos yang kurang sihat Rafael Benitez dengan kemenangan 1-0 di Swansea.

Palace kini kalah semua empat perlawanan Liga Perdana Inggeris di bawah kendalian De Boer selepas hantaran ke belakang pemain sayap Lee Chung Yong membantu Chris Wood meledak gol pada penampilan sulung di halaman sendiri di Turf Moor pada minit ketiga.

De Boer berdepan pemecatan minggu ini namun bekas jurulatih Inter Milan dan Ajax itu menegaskan fokusnya kekal untuk membantu pasukannya mempamerkan persembahan lebih baik.

“Saya hanya fokus mengenai apa yang boleh saya kuasai begitu juga staf dan pemain saya,” katanya.

“Masa depan terpulang kepada orang lain untuk memutuskannya tapi ketika saya menjadi pengurus Crystal Palace, saya akan memberikan komitmen 100 peratus.”

Benitez terlepas kunjungan Newcastle ke selatan Wales ketika beliau memulihkan diri daripada jangkitan virus namun mereka tidak terasa ketiadaannya.

Pengendali Sepanyol berusia 57 tahun itu menjalani pembedahan minggu lalu untuk menangani jangkitan berikutan pembedahan hernia sebelum ini dan tidak mampu pulih tepat pada masanya untuk bersama skuadnya.

Jamaal Lascelles meningkatkan semangat bekas pengurus Liverpool itu apabila menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-76 di Stadium Liberty.

Disiarkan pada: September 11, 2017 @ 12:07pm
d