arena

Sociedad sertai Barca di puncak La Liga

Oleh AFP

MADRID: Real Sociedad meledak dua gol pada awal dan lewat perlawanan untuk menundukkan Deportivo la Coruna 4-2 sekali gus melonjak di samping Barcelona di puncak carta La Liga Sepanyol, semalam.

Kelab dari Basque itu mendahului 2-0 di La Riazor dalam tempoh lima minit pertama menerusi gol sumbangan Juanmi dan Asier Illarramendi.

Deportivo bangkit melawan apabila Adrian Lopez membalas satu gol sebelum rehat sebelum penyerang pinjaman dari Arsenal, Lucas Perez dibawa masuk sekembalinya ke Galicia.

Perez hanya berada seminit di tengah padang apabila Florin Andone menyamakan kedudukan buat tuan rumah.

Bagaimanapun, Sociedad mengekalkan rekod 100 peratus mereka dalam tiga aksi La Liga apabila Diego Llorente dan Illarramendi meledak kembali dalam 10 minit terakhir.

Sociedad menanti kunjungan Real Madrid hujung minggu ini dengan juara Eropah itu sudah ketinggalan empat mata berbanding pendahulu Barcelona di tangga teratas carta.

Madrid akan tampil tanpa Cristiano Ronaldo yang melengkapkan penggantungan lima perlawanan domestik kerana menolak pengadil.

Athletic Bilbao melonjak ke tangga keempat apabila gol Iker Muniain dan Aritz Aduriz pada setiap babak memastikan kemenangan 2-0 ke atas Girona.

Disiarkan pada: September 11, 2017 @ 12:45pm
d