arena

Feyenoord teruja beraksi UCL

Oleh Reuters

ROTTERDAM: Feyenoord, yang memenangi kejuaraan pertama Belanda dalam hampir dua dekad Mei lalu, kini ghairah untuk mengembalikan kegemilangan Eropah apabila mereka bersaing pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 15 tahun awal pagi Khamis ini.

Malah pasukan dari Rotterdam itu, juara Eropah pada 1970, kembali berdepan cabaran lebih getir di peringkat benua berbanding kemaraan mereka pada peringkat 32 pasukan pertandingan kelab elit Eropah itu pada musim 2002-03.

“Ia satu cabaran getir buat kelab Belanda untuk kompetitif sekali lagi menentang banyak pasukan kuat,” kata jurulatih Giovanni van Bronckhorst ketika Feyenoord berdepan ujian terbaru di laman sendiri menentang kelab gergasi Inggeris, Manchester City.

“Dengan terlalu banyak kualiti dari negara bola sepak hebat, kami kini berpeluang untuk menguji tahap sendiri dan ia satu cabaran sebenar buat saya dan pasukan ini,” katanya.

“Ia pasti sukar tapi ia satu cabaran baik dan kami akan belajar daripadanya untuk menjadi lebih bagus.”

Feyenoord adalah kelab pertama Belanda muncul juara Eropah dan dua kali menjuarai Piala UEFA namun di sebalik rekod membanggakan di Eropah, mereka jauh ketinggalan dalam tahun kebelakangan dalam kalangan ‘tiga musuh utama’, Ajax Amsterdam dan PSV Eindhoven.

Bagaimanapun mereka teruja dengan cabaran baru Piala Eropah sekalipun berada dalam kumpulan sukar bersama City, Napoli dan Shakhtar Donetsk.

“Tidak kisah bagaimana sukarnya ia, pengalaman diraih pemain menentang kelab ternama Eropah pasti amat berharga,” kata Van Bronckhorst, yang memenangi Liga Juara-Juara sebagai pertahanan bersama Barcelona pada 2006.

“Ia kumpulan hebat. Kami perlu bekerja keras dan harapan tinggi untuk melepasi peringkat kumpulan.”

Disiarkan pada: September 11, 2017 @ 3:33pm
d