arena

[UPDATE] Annuar sukarela menolak

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

BARU beberapa jam selepas namanya diumum sebagai calon Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa secara sukarela menolak pencalonan jawatan itu.

Penasihat badan induk bola sepak Kelantan itu antara salah seorang daripada lima nama dicalonkan Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) bagi merebut jawatan Presiden KAFA.

Menerusi entri terbaru Facebooknya, beliau mahu PBJ tidak mengecewakan penyokong bola sepak Kelantan.

"Usah kecewakan 'pencinta' bola Kelantan yang sudah lama berjuang untuk saya tidak memimpin KAFA.

"Saya tidak perlu bertanding kerana yakin lebih ramai yang boleh buat lebih baik dari saya.

"Biarlah KAFA tanpa saya. Saya percaya yang menulis dalam Facebook serta menerusi kumpulan aplikasi Whatsapp masing-masing bahawa KAFA dan bola Kelantan akan bertambah baik dan kuat dengan tokoh baru.

"Selamat memilih saf pimpinan KAFA yang baru. All the best!," katanya.

Menurutnya, selama 10 tahun menjawat jawatan Presiden banyak perkara yang berlaku termasuk melalui suka duka dan berdepan dengan pelbagai masalah bola sepak.

"Tahun ini saya tidak pegang apa jawatan tetapi secara sukarela bantu mengumpul hampir RM8 juta melalui rangkaian syarikat saya.

"Saya digantung daripada jawatan Pengerusi MARA kerana bola Kelantan yang akhirnya memilih untuk berhenti daripada jawatan itu susulan masalah yang berlaku," katanya.

Portal Harian Metro melaporkan, Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor mengumumkan lima calon Presiden KAFA termasuk Annuar yang bakal berentap dengan empat lagi individu pada Kongres Tahunan Ke-43 persatuan itu, Ahad depan.

PBJ menamakan lima calon untuk kerusi Presiden sehingga tarikh tutup pencalonan pada 5 petang, semalam.

Selain Annuar, dua Naib Presiden KAFA, Datuk Mohamad Nasir Hamzah dan Datuk Rosmadi Ismail turut dicalonkan bertanding Presiden.

Manakala, penaja utama pasukan Kelantan musim ini, Datuk Ir Shaari Hassan (Chengal Jati Sdn Bhd) dan pengasas Desa Murni Batik, Bibi Ramjani Ilias Khan turut dicalonkan.

Berita berkaitan:

Annuar antara 5 calon Presiden KAFA

Disiarkan pada: September 11, 2017 @ 5:16pm
d