arena

'Cari jalan penyelesaian'

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: “Mesti ada jalan penyelesaian,” kata bekas pemain beregu lelaki negara, Lee Wan Wah mengenai situasi yang berlaku terhadap pasangan utama, Goh V Shem-Tan Wee Kiong selepas tersingkir awal di Kejohanan Dunia.

Menurutnya, beliau tidak tahu apa yang berlaku terhadap kedua-dua pemain itu secara mendalam kerana tidak berada di dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) namun sebagai bekas pemain, sudah pasti beliau sendiri mahu satu keputusan positif dicapai.

“Saya tidak dapat untuk memberi komen dengan lebih lanjut mengenai perkara ini, tapi akan ada jalan penyelesaiannya, termasuk kedua-dua pemain ini perlu duduk berbincang,” katanya yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Greece 2004 bersama Choong Tan Fook.

Jelasnya, perselisihan pendapat memang sering berlaku kepada pemain acara beregu namun setiap yang berlaku sudah pasti mempunyai penyelesaian.

“Sukar untuk saya jelaskan apa yang berlaku tapi sebagai orang luar dan saya rasa peminat badminton juga mahu melihat mereka kembali memberikan prestasi terbaik. BAM juga mampu melakukan keputusan terbaik mengenai perkara ini,” kata Wan Wah.

Dalam masa sama, Wan Wah juga merasakan BAM mampu melahirkan lebih ramai gandingan beregu lelaki yang mantap dan yakin mereka di dalam badan induk berkenaan bertungkus-lumus untuk mencari formula terbaik dan bukan hanya mengharapkan satu atau dua pasangan saja.

“Hanya masa saja menentukan bila gandingan yang baik mampu dilahirkan. Saya yakin kita tidak ketandusan pemain berbakat acara beregu lelaki,” katanya.

V Shem-Wee Kiong yang pernah menduduki ranking nombor satu dunia dan meraih perak di Sukan Olimpik Rio tahun lalu, mengalami penurunan prestasi sejak awal tahun ini.

Selepas meraih kejuaraan Siri Super Akhir di Dubai Disember tahun lalu, aksi mereka dilihat kurang konsisten termasuk kalah kepada lawan yang sama Li Junhui-Liu Yuchen dari China di suku akhir Seluruh England dan Terbuka India.

Mereka juga tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia dan Australia sebelum berangkat ke Glasgow untuk menyertai Kejohanan Dunia.

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 3:36am
d