arena

Helang Merah hilang 'Peminat No 1'

Oleh Izzali Ismail

BEKAS jurulatih bola sepak Kedah, Azraai Khor Abdullah menyifatkan kemangkatan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah satu kehilangan besar untuk seluruh penyokong bola sepak Kedah dan warga Kedah keseluruhannya.

Menurut Azraai, beliau membesar dengan kehadiran Sultan Kedah sejak mula menjadi pemain negeri Kedah apabila Almarhum selalu hadir ke Stadium menyaksikan perlawanan pasukan Kedah.

"Bagi saya tiap-tiap perlawanan yang dihadiri Almarhum Tuanku menjadi inspirasi dan motivasi buat saya dan semua pemain untuk berjuang habis habisan untuk kejayaan negeri Kedah.

"Almarhum Tuanku adalah seorang yang sangat perihatin untuk bola sepak, saya masih ingat sewaktu menjadi pemain dahulu kami (pemain) mengadakan latihan di Jalan Maxwell (sekarang Taman Rimba) dan setibanya di kawasan itu Almarhum sedang bermain golf dan sempat melambai ke arah kami (pemain) dan bertanya mengenai persiapan yang dilakukan. Itu tak dapat dilupakan.

"Minat Almarhum Tuanku begitu luar biasa untuk bola sepak dan sokongan moral serta motivasi yang diberikan berterusan sehinggalah saya menjawat jawatan jurulatih Kedah.

"Bola sepak dan Almarhum Tuanku Sultan Kedah memang tak dapat dipisahkan kerana beliau peminat nombor satu bola sepak Kedah."

"Masih ingat lagi kecemerlangan dan kebangkitan yang dicapai pasukan Kedah pada 80-an iaitu tiga kali final Almarhum Tuanku akan berangkat hadir memberi sokongan dan akhirnya Kedah muncul juara Piala Malaysia pada 1990," katanya.

Azraai berkata, apabila dipanggil mengendalikan pasukan senior Kedah pada 2004, arwah Datuk Ahmad Basri selaku pengurus pasukan Kedah pada waktu itu meminta dia berjanji tiga perkara utama iaitu kesetiaan kepada pasukan, kesetiaan kepada negeri dan ketiga adalah kesetiaan kepada tuanku.

"Perkara yang menyentuh hati saya dalam kerjaya bola sepak adalah kejayaan membawa pasukan Kedah di kemuncak persada bola sepak Liga Malaysia pada ketika iaitu kejayaan 'Double Treble' atau kejuaraan berganda tiga piala pada 2007 dan 2008 dibawah kepimpinan Almarhum.

"Saya sebagai jurulatih ketika itu dan rakyat bersyukur kerana berpeluang melaksanakan tanggungjawab besar untuk negeri Kedah dan kejayaan itu sungguh bermakna untuk Almarhum Tuanku," katanya.

Beliau berkata, sikap merendah diri, ramah serta mesra yang ditunjukkan Almarhum Tuanku setiap kali hadir meluangkan masa bersama pemain dan bersantap selepas tamat permainan, sentiasa menjadi motivasi semua pemain.

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 1:27pm
d