arena

Real tenang jumpa APOEL

Oleh AFP

MADRID: Keyakinan Real Madrid melakar satu lagi sejarah Liga Juara-Juara tidak terjejas ketika pasukan lain berbelanja besar cuba untuk mengejar mereka manakala juara Eropah berturut-turut itu lebih gembira mengumpul wang.

Real membuat keuntungan lebih 75 juta euro (RM377 juta) dalam pasaran perpindahan berikutan penjualan Alvaro Morata, James Rodriguez dan Danilo.

Namun mereka tetap pasukan yang perlu dikalahkan ketika Liga Juara-Juara musim baru bermula awal pagi esok selepas menamatkan penantian hampir tiga dekad bagi muncul pasukan pertama mengekalkan kejuaraan.

Madrid menangani cabaran itu dengan bergaya musim lalu, menyingkirkan Bayern Munich, Atletico Madrid dan Juventus pada peringkat kalah mati.

Cubaan mereka muncul pasukan pertama sejak Bayern pada pertengahan 1970-an menang tiga kali berturut-turut bermula dengan ujian agak mudah menentang APOEL Nicosia di Santiago Bernabeu, awal pagi Khamis ini.

Perlawanan lebih sukar menanti dengan kehadiran Borussia Dortmund dan Tottenham Hotspur dalam Kumpulan H.

Di sebalik bermula hambar dalam kempen La Liga, Zinedine Zidane kelihatan bersedia menempuh musim yang panjang kali ini.

Pengendali dari Perancis itu merehatkan ramai pemain tonggak termasuk Luka Modric, Isco dan Gareth Bale sekembalinya mereka daripada tugasan antarabangsa dan seri 1-1 menentang Levante, Sabtu lalu.

“Saya tidak akan merevolusikan apa yang saya mahu lakukan terhadap pasukan ini kerana hanya satu perlawanan buruk,” tegas Zidane.

Real menerima rangsangan bagi pertemuan dengan juara Cyprus itu dengan kembalinya Cristiano Ronaldo.

Ketiadaan Pemain Terbaik Dunia itu berikutan penggantungan lima aksi domestik selepas menolak pengadil mendedahkan kekurangan dalam skuad Real yang tidak mempunyai sokongan buat Karim Benzema.

Ronaldo menjaringkan 10 gol dari suku akhir musim lalu ketika polisi penggiliran Zidane membantunya lebih segar dan bebas daripada kecederaan berbanding tahun sebelumnya.

Dengan Ronaldo yang cergas hadir pada peringkat kalah mati, Real kekal pasukan yang perlu ditewaskan ketika kelab lain cuba menamatkan penguasaan mereka.

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 2:15pm
d