arena

Triatlon Cabaran Iskandar Puteri 2017 lebih meriah

Oleh Jumiati Rosly

EDISI kedua perlumbaan triatlon Cabaran Iskandar Puteri 2017 pada 23 September ini menyaksikan sambutan menggalakkan apabila jumlah penyertaan yang diterima sekali ganda berbanding edisi sulung tahun lalu.

Pengerusi Eksekutif Carbon Sports Sdn Bhd selaku syarikat yang mempromosikan acara itu, Keld Kristiansen berkata, tahun ini jumlah penyertaan adalah 830 penyertaan berbanding 409 tahun lalu.

“Perlumbaan tahun ini lebih besar berbanding tahun lalu dari segi bilangan penyertaan atlet dan juga kesedaran orang ramai apabila budaya triatlon ini terus meningkat tahun demi tahun di Malaysia.

“Cabaran Iskandar Puteri pastinya pengalaman yang ditunggu-tunggu semua, atlet dan orang ramai,” katanya selepas sidang media hari ini.

UEM Sunrise Berhad selaku penaja utama membawakan acara triatlon yang kini dimasukkan dalam siri perlumbaan keenam dalam cabaran global yang akan menyaksikan peserta mengharungi perlumbaan renang sejauh 1.9 kilometer, berbasikal 90km dan berlari 21km bermula di Puteri Harbour, Johor.

“Kami berbangga dapat menjadi penaja utama sekali lagi untuk edisi Cabaran Iskandar Puteri tahun ini. UEM Sunrise komited dalam memajukan imej Iskandar Puteri sebagai hab utama hiburan, sukan dan gaya hidup aktif untuk semua dan Cabaran Iskandar Puteri adalah acara terbaik untuk membawakannya,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Berhad, Anwar Syahrin Abdul Ajib.

Pada perlumbaan kali ini, atlet legenda triatlon, Cameron Brown dari New Zealand mengesahkan penyertaan di samping atlet profesional lain termasuk Mitchell Kibby, Laurel Wassner, Kathryn Haessner, Nicholas Baldwin, Anna Eberhardt dan Lachlan Kerin dengan lebih ramai lagi dijangka mengesahkan penyertaan minggu depan.

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 2:57pm
d