arena

Tak mustahil boleh: Froome

Oleh AFP

LONDON: Chris Froome yang baru saja melengkapkan kejuaraan berganda Tour de France dan Vuelta a Espana percaya tidak mustahil buatnya untuk memenangi semua perlumbaan Grand Tour pada tahun sama.

Froome, 32, melengkapkan kemenangan di Vuelta Ahad lalu untuk muncul hanya pelumba ketiga meraih pencapaian berganda Tour-Vuelta pada tahun sama dan pertama sejak Bernard Hinault pada 1978.

Tiada pelumba pernah memenangi tiga kejuaraan Giro-Tour-Vuelta semusim dan ketika Froome berasakan ia tidak mungkin dilakukan, dia tidak percaya ia tidak boleh dicapai.

“Saya tidak katakan ia mustahil,” ujar penunggang Britain itu, juara Tour de France empat kali semalam.

“Tiada apa yang mustahil tapi jelas ia memerlukan kerja keras dan sukar.”

Dia lebih berhati-hati mengenai peluangnya untuk mengatasi rekod pelumba legenda Belgium, Eddy Merckx dengan 11 kejuaraan Grand Tour.

“Satu era yang amat berbeza,” kata Froome, yang muncul naib juara Vuelta tiga kali (2011, 2014 dan 2016) sebelum akhirnya merangkul jersi merah.

“Zaman Eddy Merckx berlumba, dia mampu memenangi setiap perlumbaan dalam kalendar. Sukan ini sudah berubah sejak zamannya.”

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 3:02pm
d