arena

Hanya pandangan Frost

Oleh Helmi Talkah

PENGARAH Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen seharusnya tidak membuat keputusan mendahului Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) berhubung masa depan beregu lelaki nombor satu negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Seperti yang diputuskan ketika mesyuarat bedah siasat mengenai prestasi pemain negara pada Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang dipengerusikan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria minggu lalu, keputusan itu hanya akan diketahui selepas mesyuarat C&T Isnin ini.

Namun, Frost dilihat mendahului C&T apabila mengesahkan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu akan dipisahkan dan mahu digandingkan dengan pemain baru.

Bagaimanapun, Norza berkata, apa yang dinyatakan Frost itu mungkin hanya pandangan peribadi selepas beliau dan ketua jurulatih beregu lelaki Cheah Soon Kit diberi tanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaian dan membentangkannya kepada C&T.

“Seperti yang kami putuskan selepas mesyuarat bedah siasat minggu lalu, Frost dan Soon Kit diberi tanggungjawab untuk melihat permasalahan ini dan mencari penyelesaian. Selepas itu mereka perlu bentangkan kepada C&T.

“Mungkin apa yang diperkatakan oleh Frost adalah apa yang difikirkannya secara peribadi tapi keputusan muktamad sama V Shem-Wee Kiong dipisahkan atau sebaliknya hanya ditentukan oleh C&T,” kata Norza ketika ditemui pada sidang media Cabaran Triatlon Iskandar Puteri 2017 hari ini.

Norza yang juga pengerusi C&T memberi jaminan tidak akan memandang mudah permasalahan yang sedang berlaku membabitkan V Shem-Wee Kiong dan berjanji sebarang keputusan yang dibuat nanti adalah selepas mengambil kira pandangan semua pihak.

“Saya mahu komitmen semua termasuk pemain, jurulatih dan pengarah teknikal. Keputusan yang kami buat selepas C&T nanti adalah keputusan membabitkan semua pihak dan berdasarkan kajian menyeluruh,” ujar Norza.

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 3:33pm
d