arena

Thanabalan sedia kembali bersama PBNS

Oleh Mohd Amin Jalil

“SAYA tiada halangan untuk kembali bersama Negeri Sembilan musim depan kerana saya pun masih mempunyai kontrak dengan PBNS,” kata penyerang muda sensasi skuad bawah 22 tahun (B-22), N Thanabalan.

Pemain berusia 22 tahun kelahiran Rantau itu dipinjamkan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) selama semusim kepada FELCRA FC yang bersaing dalam Liga FAM 2017.

Menurutnya, minatnya untuk menabur bakti kepada pasukan negeri kelahirannya itu tetap menebal kerana PBNS banyak membantu dan memainkan peranan penting dalam mengasah bakatnya.

“Secara peribadi, saya tiada halangan untuk kembali bersama Negeri Sembilan. Mana-mana pemain pun pastinya mempunyai minat yang lebih mendalam untuk mewakili pasukan negeri kelahiran.

“Tetapi kita tak boleh nak cakap kerana dalam era bola sepak profesional ketika ini, kita tidak dapat jangka kerana apa-apa perubahan boleh berlaku dan banyak faktor yang akan mempengaruhi seseorang pemain,” katanya.

Thanabalan mencuri tumpuan apabila kelincahannya membantu skuad B-22 negara mara ke pentas final temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), bulan lalu.

Thanabalan menjaringkan gol tunggal ketika Malaysia membenam Indonesia pada peringkat separuh akhir namun dia gagal membantu pasukan negara meraih pingat emas, selepas skuad B-22 tewas kepada Thailand, 0-1, di pentas final.

Baru-baru ini, Menteri Besar yang juga Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan bahawa pemain muda sensasi itu akan kembali bersama skuad Hoben Jang Hoben bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim depan.

Mohamad juga berkata, PBNS sentiasa memantau perkembangan pemain berkenaan kerana dia adalah antara permata bola sepak yang berjaya dilahirkan persatuan menerusi program pembangunan bermula dengan Piala Belia.

“Dia seorang pemain muda yang berbakat dan penyerang berkualiti. Kita (PBNS) sendiri tidak mahu kehilangan pemain sepertinya,” kata Mohamad.

Thanabalan berkata, setakat ini belum ada lagi apa-apa perbincangan tentang persiapan musim depan.

Menurutnya, fokusnya ketika ini adalah untuk membantu skuad yang diwakilinya (FELCRA FC) meraih kejayaan sekali gus muncul juara Piala FAM.

“Saya berharap dapat membantu FELCRA FC menjulang kejuaraan Liga FAM tahun ini dan seterusnya layak beraksi dalam saingan Liga Perdana musim 2018,” katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 10:07pm
d