arena

Froome gegar Norway

Oleh Reuters

LONDON: Juara Tour de France empat kali, Chris Froome akan meneruskan prestasi cemerlangnya selepas menjuarai Vuelta a Espana hujung minggu lalu apabila bertanding dalam acara ujian masa berpasukan dan individu pada Kejohanan Dunia bermula di Norway, hujung minggu ini.

Ketua jurulatih British Cycling, Iain Dyer dalam satu kenyataan berkata, pelumba berusia 32 tahun itu akan mengisi satu daripada dua slot acara ujian masa individu.

Dyer menegaskan, beliau menjangkakan laluan sejauh 31 kilometer di Bergen dengan satu zon pendakian sepanjang 3.4km di Gunung Floyen akan menguji kekuatan kayuhan peserta.

Froome berkata, selepas muncul pelumba pertama Britain menjuarai Vuelta minggu lalu dan pelumba ketiga dalam sejarah melengkapkan gelaran juara Tour-Vuelta pada tahun sama, dia menyasarkan persembahan baik dalam kedua-dua acara itu, bermula ujian masa berpasukan Ahad ini diikuti ujian masa individu Rabu depan.

Froome yang mengesahkan tidak akan menyertai acara lebuh raya di Bergen, adalah pemenang pingat gangsa acara ujian masa di Sukan Olimpik Rio tahun lalu.

Mark Cavendish, juara dunia lebuh raya 2011 yang mengalami kecederaan patah bahu ketika Tour de France Julai lalu dan Geraint Thomas, juga mengalami kecederaan di Tour, tidak bertanding selepas menarik diri daripada pemilihan.

Namun Lizzie Deignan, juara dunia 2015, akan memperkuatkan skuad lebuh raya wanita selepas selamat menjalani pembedahan apendiks bulan lalu.

“Ada beberapa nama besar yang digugurkan,” kata Dyer.

“Kami sudah tiba di hujung musim perlumbaan bagi pelumba lebuh raya dan kecederaan serta kelesuan membuatkan mereka menarik diri daripada pemilihan.”

Disiarkan pada: September 13, 2017 @ 9:45am
d