arena

Fellaini pacu Red Devils

Oleh AFP

MANCHESTER, England: Pemain gantian Marouane Fellaini muncul sebagai sumber inspirasi tidak dijangka apabila Manchester United mudah menewaskan FC Basel 3-0 sekembalinya mereka ke kancah Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Fellaini, pengganti Paul Pogba yang mengalami kecederaan, membantu United mendahului pada minit ke-35 dalam hujan gerimis di Old Trafford dan mengumpan gol ketiga tuan rumah buat Marcus Rashford (m-84) selepas Romelu Lukaku meledak pada awal babak kedua (m-53).

Ia perlawanan pertama Liga Juara-Juara buat United sejak Disember 2015 dengan anak buah Jose Mourinho memastikan mereka kembali menyertai pertandingan elit itu selepas menjuarai Liga Europa musim lalu.

“Saya tetap menyatakan perkara sama mengenai Fellaini: dia seorang pemain dengan kualiti istimewa dan dia memberikan saya beberapa pilihan. Dia seorang daripada pemain paling penting buat saya,” kata Mourinho.

Di sebalik kemenangan selesa itu, Mourinho bengang dengan pasukannya kerana bermain agak lewa.

“Hingga 2-0 kami amat stabil,” katanya. “Selepas 2-0 semuanya berubah. Kami mula berhenti bermain dengan serius dan berhenti melakukan keputusan tepat. Kami mungkin meletakkan diri dalam bahaya.

“Kami bermain bola sepak fantasi, bola sepak PlayStation. Saya tidak sukakannya.”

Basel sebelum ini ternyata menjadi duri dalam daging buat United, menyingkirkan mereka daripada Liga Juara-Juara pada 2011-12 dan mereka turut mencetus kekalahan mengejut Mourinho dalam aksi pertama Eropah ketika mengendalikan Chelsea kali kedua pada 2013.

Ketika anak buah Raphael Wicky tidak begitu mengancam dalam aksi pembukaan Kumpulan A itu, ketiadaan Pogba yang keluar kerana kecederaan hamstring tidak begitu menggembirakan Mourinho.

Apabila Ashley Young diturunkan di pertahanan kanan di tempat Antonio Valencia dalam kesebelasan utama, Pogba mengambil alih lilitan lengan kapten daripada pemain Ecuador itu.

Namun penampilan pertama pemain Perancis itu sebagai kapten United hanya berakhir 18 minit selepas dia memegang kaki kirinya dan terhincut-hincut sebelum digantikan oleh Fellaini.

Disiarkan pada: September 13, 2017 @ 11:35am
d