arena

Celtic mangsa pertama PSG

Oleh AFP

GLASGOW: Neymar, Kylian Mbappe dan Edinson Cavani semuanya meledak gol ketika Paris Saint-Germain memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan membelasah Celtic 5-0 di Glasgow, awal pagi tadi.

Neymar dari Brazil sekali lagi bertindak cemerlang selepas perpindahan dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.1 bilion) dengan gol kelimanya dalam lima perlawanan untuk meletakkan PSG di depan pada minit ke-19 sebelum mencipta gol buat Mbappe bagi menjadikan kedudukan 2-0 selepas 34 minit.

Cavani kemudiannya menyempurnakan sepakan penalti lima minit sebelum rehat dan semuanya serba tidak kena buat Celtic pada babak kedua.

Gol sendiri Mikael Lustig pada minit ke-83 dan tandukan cantik Cavani dua minit kemudian mencetus lebih banyak masalah buat juara Scotland itu, yang mungkin berdepan tindakan UEFA apabila seorang penyokong menceroboh masuk ke padang dan cuba menyepak Mbappe pada babak pertama.

“Perkara paling rumit di sini adalah untuk menangani rentak dan intensiti permainan mereka dan sudah tentu sokongan yang mereka terima,” kata jurulatih PSG, Unai Emery.

“Saya fikir pasukan saya mempamerkan banyak karakter. Ia satu usaha sepasukan dan mereka memperagakan pendekatan menguasai permainan, sesuatu yang saya suka.”

Kemenangan itu melonjak PSG ke tangga teratas Kumpulan B menerusi perbezaan gol di depan Bayern Munich, yang menewaskan Anderlecht 3-0. Kedua-dua pasukan akan bertemu di Paris dua minggu lagi.

“Secara bertahan kami terlalu teruk berbanding mereka dan keduanya saya kecewa dengan cara kami memegang bola. Kami tidak memegang bola cukup lama,” kata pengurus Celtic, Brendan Rodgers.

“Jika anda tidak melakukannya menentang pasukan terbaik di dunia mereka akan menghukum anda.”

Disiarkan pada: September 13, 2017 @ 12:24pm
d