arena

Tekad rampas kembali gelaran

Oleh Malik Muhamad

KONTINJEN Terengganu menyasarkan untuk merampas kembali gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang bakal berlangsung di Perak tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, beberapa jenis sukan sudah dikenal pasti bakal menjadi lubuk emas buat kontinjen Terengganu dalam mencapai misi berkenaan.

“Sukan yang bakal menjadi penyumbang utama emas buat kontinjen Terengganu nanti ialah judo, berbasikal, memanah dan menembak biarpun sebelum ini acara kanu menjadi antara penyumbang terbesar pingat.

“Justeru, kontinjen Terengganu kini sedang giat melakukan persiapan awal untuk meraih sebanyak mungkin pingat emas daripada 430 pingat yang ditawarkan dalam temasya SUKMA ke-19 itu nanti,” katanya selepas merasmikan majlis Himpunan Atlet Terengganu bagi mengira detik setahun sebelum SUKMA 2018 di Stadium Tertutup Gong Badak, kelmarin.

Dalam temasya SUKMA ke-18 di Sarawak 2016 kontinjen Terengganu sekadar menduduki tangga ketiga carta dengan mengutip 46 pingat emas di belakang Selangor yang muncul juara keseluruhan dan Sarawak di tempat kedua.

Mengulas lanjut, Rozi berkata, setakat ini persediaan kontinjen Terengganu sudah berada pada fasa kedua membabitkan 700 atlet yang akan bersaing dalam 29 acara sukan.

Beliau berkata, walaupun tempoh kejohanan masih panjang tetapi persiapan lebih mantap dan kemas perlu bermula sekarang bagi mencapai sasaran kembali menjadi juara keseluruhan SUKMA seperti yang pernah dicapai pada edisi 2008, 2010, 2011 dan 2012.

“Bagi fasa ketiga nanti, bilangan atlet akan dikecilkan dalam lingkungan 500 orang dan atlet yang berpotensi akan dihantar berlatih ke luar negeri sebagai pendedahan awal sebelum SUKMA,” kata Rozi.

Disiarkan pada: September 13, 2017 @ 7:46pm
d