arena

Kuantan FA bayar 2 bulan dulu

Oleh Asrol Awang

PERSATUAN Bolasepak Daerah Kuantan (Kuantan FA) mengaku berlaku tunggakan gaji ke atas pemain namun pada masa sama menafikan jumlahnya melebihi 11 bulan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Menurut sumber, Kuantan FA sedang berusaha mendapatkan sumber kewangan termasuk membuat pinjaman bagi memastikan kebajikan pemain kelab itu tetap terbela.

“Sebenarnya, Kuantan FA tidak pernah lari daripada tanggungjawab menjelaskan bayaran gaji tetapi setakat ini sumber kewangan yang diusahakan belum diperoleh sekali gus menyukarkan usaha berkenaan.

“Kami sedang berusaha menyelesaikan masalah ini (tunggakan) dan tiada sebarang niat untuk melarikan diri dari tanggungjawab kerana sedar ia adalah pendapatan pemain.

“Tapi, buat masa ini Kuantan FA tidak dapat berbuat demikian kerana sumber kewangan belum lagi diperoleh.

“Buat masa ini, kami sedang berusaha membayar gaji untuk dua bulan terlebih dulu dan ia akan dilakukan sebelum akhir bulan ini manakala baki yang tertunggak sedang diusahakan,” kata sumber berkenaan.

Berdasarkan laporan, Kuantan FA yang turut dikenali sebagai The Seagulls gagal melunaskan gaji pemain selama 11 bulan, bermula hujung tahun lalu.

Kegagalan itu mengakibatkan ada pemain yang terpaksa membuat kerja lain bagi menampung kehidupan seharian.

Bagaimanapun, atas dasar profesional, pemain Kuantan FA tetap berusaha memberikan yang terbaik setiap kali turun bermain semata-mata mahu memastikan kejayaan pasukan.

Masalah itu sudah sampai ke pengetahuan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan presiden, Hairuddin Omar mengaku empat pemain import kelab terbabit sudah membuat aduan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Disiarkan pada: September 13, 2017 @ 8:08pm
d