arena

Kane lenyap badi Wembley

Oleh AFP

LONDON: Harry Kane melenyapkan sumpahan Tottenham Hotspur di Wembley apabila dua gol penyerang England itu memastikan kemenangan 3-1 ke atas Borussia Dortmund pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Ketika White Hart Lane dibangunkan semula, Tottenham bermain aksi laman sendiri di stadium kebangsaan England itu musim ini dan ia menjadi berita buruk buat pasukan kendalian Mauricio Pochettino.

Sesudah parah dengan kekalahan di Wembley dalam Liga Juara-Juara dan separuh akhir Piala FA musim lalu, Tottenham tewas kepada Chelsea dan seri dengan Burnley musim ini, mencetus percakapan mereka dihantui badi di gelanggang utara London itu.

Namun selepas tewas lapan daripada 12 perlawanan terakhir di Wembley, penamat klinikal Kane memastikan Tottenham akhirnya menikmati malam yang boleh diingati di stadium sementara mereka.

Gol pertama Son Heung Min musim ini meletakkan Tottenham di depan pada minit keempat dan sekalipun Andriy Yarmolenko menyamakan kedudukan menerusi percubaan jarak jauh menarik pada minit ke-11, tuan rumah lebih banyak mencetus deria pemusnah menerusi sentuhan terkini Kane.

Kane, yang meledak dua gol ketika menang di Everton Sabtu lalu, mengembalikan kelebihan Tottenham pada minit ke-15 dan melengkapkan kemenangan dengan gol keduanya selepas jam.

Diundi dalam kumpulan sukar termasuk juara bertahan Real Madrid, persembahan cemerlang Tottenham itu adalah kemenangan ketiga mereka dalam 13 penampilan di Wembley dan memberikan mereka keyakinan awal untuk merebut tempat ke peringkat kalah mati.

Satu-satunya kecacatan dialami Tottenham apabila Jan Vertonghen dibuang padang kerana mengutip kad kuning kedua selepas menyiku muka Mario Goetze.

“Amat penting untuk menang, kami terlalu gembira. Kami meningkatkan tahap pada babak kedua dan penyudah kami tajam,” kata Pochettino.

“Ia lebih daripada tiga mata. Pasukan ini semakin matang sekarang. Harry Kane amat fantastik.”

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 12:04pm
d