arena

City ratah Feyenoord

Oleh AFP

ROTTERDAM, Belanda: Manchester City membelasah juara Belanda, Feyenoord 4-0 ketika pemain pertahanan John Stones menyumbat dua gol bagi membantu anak buah Pep Guardiola bermula dengan bergaya dalam Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Stones menanduk masuk selepas dua minit susulan satu lambungan menarik kapten David Silva dan selepas Sergio Aguero dan Gabriel Jesus mengukuhkan kedudukan, pertahanan tengah England itu melengkapkan aksi dengan tandukan kencang bagi gol kedua peribadinya.

“Apa yang paling penting dan menggembirakan saya (mengenai kemenangan itu) adalah cara kami melakukannya,” kata jurulatih City, Guardiola.

“Kami tidak menoleh ke belakang, kami agresif, kami memiliki pemain yang melakukan larian deras di kanan dan mencipta peluang. Cukup untuk memenangi perlawanan ini dengan selesa.”

Bagi merumitkan keadaan buat City bagaimanapun dalam satu lagi aksi Kumpulan F, pasukan pilihan Napoli tumpas 1-2 di Shakhtar Donetsk.

Di Rotterdam, City meratah Feyenoord ketika pemain tengah yang rajin Bernardo Silva dan Kevin de Bruyne menghukum setiap ruang di benteng tuan rumah, yang jelas berhempas-pulas di De Kuip.

Aguero menjadikan kedudukan 2-0 selepas 10 minit apabila dia merembat bola separa voli berikutan hantaran lintang Kyle Walker yang melepasi penjaga gol Brad Jones.

Penyerang Argentina itu kini menyumbat 172 gol buat Manchester City dan hanya kurang lima berbanding rekod sepanjang zaman milik bekas pemain kebangsaan England, Erik Brook dengan 177 gol.

“John Stones, tiada keraguan mengenai kualitinya,” ujar Guardiola.

“Tapi dia sedar apa yang perlu dilakukan untuk meningkat sebagai pemain bola sepak, dia perlu memenangi perebutan bola. Apabila dia berjaya melakukannya dia akan menjadi seorang pertahanan tengah luar biasa.”

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 12:27pm
d