arena

'Orang muda mesti lebih bagus'

Oleh AFP

BERLIN: Sekalipun suasana dalaman Bayern Munich agak tegang ketika ini, Carlo Ancelotti tenang memberi reaksi semalam apabila bos Hoffenheim, Julian Nagelsmann menyatakan minatnya untuk mengendalikan kelab Bavaria itu.

“Sudah menjadi kebiasaan seorang jurulatih muda dan bagus seperti Julian mengimpikan untuk melatih kelab di tahap tertinggi,” kata pengurus Bayern, Ancelotti.

Nagelsmann, 30, yang dipilih sebagai jurulatih terbaik tahunan Jerman pada 2016, mencetus khabar angin beliau sudah diintai sebagai jurulatih Bayern selepas ini apabila mendedahkan beliau membina rumah di Munich.

“FC Bayern sebahagian besar daripada impian saya,” kata Nagelsmann, yang mengemudi Hoffenheim daripada ambang penyingkiran pada 2015-16 sebelum berakhir di tangga kempat liga utama Jerman musim lalu.

“Saya amat gembira dengan kehidupan saya dan FC Bayern akan mencetus lebih banyak kegembiraan, tapi tidaklah sampai kehidupan saya bergantung kepada FC Bayern.”

Komen Nagelsmann tidak banyak membantu posisi Ancelotti ketika pengendali dari Itali itu berdepan ketegangan memuncak dalam skuad dipenuhi bintang.

Suasana muram tercetus sejak Bayern tewas 0-2 di Hoffenhein Sabtu lalu yang menyebabkan mereka menghuni tangga keenam Bundesliga.

Franck Ribery antara nama terbaru mencetus kemarahan apabila mencampakkan jersinya ke bangku simpanan Bayern ketika menang 3-0 ke atas Anderlecht di laman sendiri awal pagi kelmarin selepas dikeluarkan 12 minit sebelum tamat aksi Liga Juara-Juara.

Tindakan Ribery hadir selepas Robert Lewandowski mengkritik polisi pembelian pemain Bayern dalam satu temu ramah, menyatakan kelab gergasi Bavaria itu berdepan risiko ketinggalan di belakang kelab ternama Eropah kecuali mereka berbelanja lebih.

Ia juga hadir selepas bintang Bayern, Thomas Mueller merungut apabila diketepikan di bangku simpanan di Werder Bremen dua minggu lalu ketika dia bergelut dengan prestasi sejak Ancelotti mengambil alih pada awal musim lalu.

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 1:46pm
d