arena

Kuantan FA terkilan sikap PFAM

Oleh Asrol Awang

PERSATUAN Bola Sepak Daerah Kuantan (Kuantan FA) terkilan dengan sikap Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang tidak mendapatkan penjelasan mereka berhubung tunggakan gaji membabitkan pemain skuad berkenaan.

Timbalan Presiden Kuantan FA Datuk Wan Solihi Wan Hassan berkata, sepatutnya PFAM perlu mendapatkan penjelasan daripada pengurusan skuad itu sebelum membuat sebarang kenyataan.

Katanya, sehingga kini PFAM tidak bersemuka dan berbincang dengan persatuan itu bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci berhubung masalah dihadapi.

“Sebenarnya, tunggakan yang dikatakan 11 bulan itu bukan tepat sebaliknya hanya membabitkan tunggakan antara tiga hingga tujuh bulan setengah.

“Kami akui berlaku tunggakan gaji seperti dilaporkan tapi ia tidak sampai 11 bulan dan pemain bukan tidak menerima sebarang pembayaran kerana mereka turut diberikan wang pendahuluan.

“Tidak timbul pemain tidak dapat menyambut hari raya kerana diberikan separuh gaji untuk menceriakan sambutan sambutan itu,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Wan Solihi yang juga pengurus pasukan berkata, sehingga kini pihaknya berusaha melunaskan bayaran gaji tertunggak dengan dua bulan terlebih dulu dijelaskan.

Katanya, selebihnya Kuantan FA akan berusaha menjelaskan baki tunggakan itu sebelum berakhir musim ini.

“Kita tidak pernah mengabaikan kebajikan pemain dan sedaya upaya membayar gaji kerana tahu keadaan mereka jika tidak menerima gaji,” katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 7:21pm
d