arena

Tetap main di Pyongyang

Oleh Firdaus Hashim

“KITA akan tetap bermain di sana (Pyongyang).”

Demikian tegas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai kebimbangan pemain Harimau Malaya terhadap tahap keselamatan untuk aksi di Korea Utara, 5 Oktober depan.

Malaysia yang sebelum ini tumpas 1-2 kepada Lubnan dan seri 1-1 menentang Hong Kong dalam dua aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2019 bakal berkunjung ke Pyongyang untuk menghadapi aksi getir itu.

Kebimbangan pemain negara itu berdasarkan kemungkinan tercetusnya perang di republik berkenaan susulan pelancaran ujian nuklear keenam yang mencetuskan kecaman global terutama Amerika Syarikat.

Lantas, senario itu mengundang rasa kurang selamat dalam pemain negara yang mahu FAM mengambil serius soal keselamatan mereka dengan memantau perkembangan di negara berkenaan.

“Saya sudah berhubung dengan Datuk Windsor Paul John (Setiausaha Agung AFC) dan nampaknya kita akan tetap bermain di sana mengikut arahan mereka.

“Walaupun ketika ini (ancaman perang membabitkan Korea Utara) dilihat biasa.

“Tapi sekiranya ada faktor keselamatan, AFC akan maklumkan kepada kita dan mungkin tindakan baru diambil. Buat masa ini perlawanan akan berlangsung mengikut jadual.

“Malah, AFC sendiri sudah membuat pemantauan berdasarkan aksi antara Korea Utara dan Lubnan di Pyongyang dan rasanya kita boleh bermain di sana.

“Malah, kita turut membuat persiapan lain yang akan diumumkan nanti dengan Tunku Presiden (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) juga sudah bersetuju,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, AFC tetap dengan pendirian untuk meneruskan aksi di Pyongyang walaupun ketika ini wujud kegusaran kemungkinan tercetusnya perang di negara itu.

Mei lalu, AFC terpaksa menunda buat kali kedua pertemuan kedua-dua pasukan selepas turut melakukannya pada 28 Mac lalu susulan ketegangan hubungan diplomatik apabila abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-nam dibunuh di klia2 pada 13 Februari.

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 10:39pm
d