arena

Force India atau Williams?

Oleh Reuters

Singapura: Sergio Perez (gambar) berharap isu berkaitan masa depannya di Formula Satu dapat diselesaikan sebelum Grand Prix Malaysia dan kini mempertimbangkan dua pilihan.

Perez, pelumba Mexico itu ketika ini berada di musim keempat bersama Force India.

Pasukan berpangkalan di Silverstone itu yang menamatkan saingan musim lalu di tempat keempat kategori pengeluar berkata mereka mahukannya kekal bersama pasukan itu.

“Secara jujurnya, ada dua pilihan, tetapi saya enggan mengulas terlalu banyak mengenainya,” kata pelumba Force India itu menjelang perlumbaan malam di Singapura hujung minggu ini.

“Saya semakin hampir untuk menandatangani kontrak...

“Saya fikir Force India adalah satu pasukan yang mampu memberikan kereta untuk anda menunjukkan bakat dan itu amat penting,” kata pelumba berusia 27 tahun itu.

“Kita lihat apa akan berlaku tetapi saya rasakan ia tempat yang hebat.”

Perez juga dikaitkan dengan perpindahan ke Williams sebagai pengganti pelumba veteran Felipe Massa yang bersara musim lalu.

Fernando Alonso, yang turut dikaitkan dengan Williams dalam laporan media dijangka melanjutkan kontrak tiga tahun di McLaren di mana pasukan itu bakal menukar enjin Honda kepada Renault.

Sekiranya Perez berpindah, ia bakal membuka ruang buat Pascal Wehrlein ke Force India yang menggunakan enjin Mercedes.

Pelumba berusia 22 tahun itu yang mendapat sokongan Mercedes dijangka kehilangan tempat di Sauber yang menggunakan enjin Ferrari kepada pendahulu kejuaraan Formula Dua Charles Leclerc pada akhir tahun.

Ketiga-tiga pasukan utama iaitu Mercedes, Ferrari dan Red Bull sudah memuktamadkan barisan pelumba mereka musim depan di mana Mercedes mengumumkan lanjutan kontrak setahun buat Valtteri Bottas kelmarin.

Disiarkan pada: September 15, 2017 @ 7:14am
d