arena

Real ambil iktibar Neymar

Oleh Reuters

MADRID: Real Madrid memasukkan klausa pembelian bernilai 700 juta euro (RM3.4 bilion) dalam kontrak lima tahun Isco yang baru.

Difahamkan, klausa berkenaan dimasukkan bagi mengelak berlaku kes sama dialami Barcelona yang terpaksa melepaskan Neymar ke Paris St Germain (PSG).

Pesaing utama Real, Barca gagal menghalang perpindahan Neymar apabila PSG mencetuskan pembelian bernilai 222 juta euro (RM1.1 bilion) terhadap Neymar, yang membuka jalan bagi penyerang Brazil itu berhijrah ke kelab Perancis itu pada Ogos lalu.

Real yang juga juara liga Sepanyol dan Eropah mengumumkan perkara itu hari ini bahawa Isco sudah menandatangani lanjutan kontrak empat tahun lagi dalam kontrak semasanya yang akan berakhir hujung musim ini.

Undang-undang kontrak di Sepanyol perlu mempunyai klausa pembelian dan Madrid secara proaktif bertekad memasukkan nilai yang tinggi ke dalam perjanjian baharu pemain mereka, bermula dengan klausa dalam kontrak Isco, lapor Marca dan AS, hari ini.

Pemain tonggak Real dan Sepanyol itu memasuki musim kelima bersama Real selepas berhijrah daripada Malaga, dan dia menjadi antara pemain yang digemari peminat di Bernabeu.

Pemain 25 tahun itu turut menjadi pilihan utama skuad Zinedine Zidane sejak 18 bulan lalu walaupun pada awalnya dia bergelut untuk menonjolkan diri.

Dia sudah membuat 197 penampilan untuk Real, menjaringkan 34 gol dan diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan ketika aksi Piala Super Eropah berdepan Manchester United, Ogos lalu.

Disiarkan pada: September 15, 2017 @ 10:09am
d