arena

Usah hirau perang psikologi

Oleh Jumiati Rosly

KETUA kontinjen negara, Datuk R Subramaniam menyifatkan sasaran yang diletakkan negara luar untuk muncul juara keseluruhan pada Sukan Para ASEAN ke-9 adalah sekadar perang psikologi.

“Mereka (negara peserta lain) mungkin ada acara yang mereka rasakan mereka kuat tetapi kita perlu ingat daripada segi jumlah bilangan atlet kita masih kontinjen teramai.

“Setiap negara peserta ada hak masing-masing untuk meletakkan sasaran yang diberikan namun bagi saya ia adalah sekadar perang psikologi dan kita tidak perlu menghiraukannya dengan hanya memberi fokus pada persembahan kita sendiri,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Kontinjen negara menghantar atlet teramai iaitu 325 diikuti Thailand (287) dan Indonesia (191).

Subramaniam berkata, atlet negara tidak perlu gentar dengan sasaran yang diletakkan negara lain dan cuba sedaya upaya menghasilkan 103 pingat emas yang disasarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini.

“Kita sudah meletakkan angka 103 emas sebagai sasaran utama namun untuk muncul juara atau tidak adalah bergantung pada prestasi atlet kita nanti,” katanya.

Presiden Persatuan Kanu Malaysia itu bagaimanapun yakin peluang untuk kontinjen negara muncul juara keseluruhan masih terbuka biarpun Indonesia meletakkan sasaran lebih tinggi dengan 107 emas sementara Thailand mahu muncul juara biarpun tidak mengumumkan jumlah sasaran.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, saingan merebut juara keseluruhan adalah sangat sengit dengan sasaran 103 emas itu memungkinkan negara berada di tempat kedua keseluruhan melainkan kontinjen negara boleh menumbangkan dominasi Thailand dan Indonesia.

Subramaniam berkata, satu mesyuarat pengurus pasukan akan diadakan hari ini bagi seluruh negara peserta dan ketika itu nanti Malaysia bakal mengetahui sasaran secara lebih tepat berapa acara yang dipertandingkan dan jumlah acara yang digugurkan.

“Jika diikutkan bilangan 103 emas itu adalah mewakili lebih kurang 30 peratus daripada keseluruhan 368 pingat emas yang dipertandingkan. Jadi jika kita dapat sasaran 103 emas itu, maka peluang kita untuk muncul juara masih ada,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara dalam Sukan Para ASEAN adalah pada edisi pertama yang diadakan di Malaysia pada 2001 dengan negara memenangi 135 emas namun ketika itu hanya lima negara yang turut serta sementara Thailand masih kuasa besar dan sukar ditewaskan apabila memenangi enam edisi sebelum ini (2003, 2005, 2008, 2009, 2011, 2015).

Disiarkan pada: September 15, 2017 @ 6:12pm
d