arena

Enggan kecewa lagi

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Selepas berdepan kekecewaan gagal mengutip mata pada Grand Prix (GP) San Marino minggu lalu, pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin tidak mahu berdepan satu lagi kekecewaan apabila bakal beraksi pada pusingan seterusnya di Aragon, Sepanyol, Ahad depan.

Jelas pelumba SIC Racing Team itu, dia mahu memastikan persiapan ke Aragon lebih baik dan perkara yang lebih penting ialah dapat kembali mengutip mata.

“Kami perlu kembali fokus untuk perlumbaan seterusnya dan terus bekerja keras.

“Yang penting adalah untuk kembali mengutip mata di Aragon. Kami sudah terlepas satu pusingan untuk mengutip mata, jadi kami tidak mahu berdepan kegagalan untuk mengutip mata lagi,” katanya.

Adam mengaku kecewa kerana gagal menamatkan perlumbaan di San Marino berikutan keadaan cuaca buruk yang menyaksikannya terjatuh, sekali gus gagal menamatkan perlumbaan.

“Keadaan cuaca ketika itu sememangnya sangat sukar dan saya akhirnya gagal mengawal jentera,” katanya.

Kekecewaan itu bukan saja dialami oleh Adam, malah rakan sepasukannya, Ayumu Sasaki juga mengalami nasib sama.

Selepas 13 pusingan, Adam kini menduduki tangga ke-19 kedudukan pelumba Moto3 dengan mengumpul 28 mata.

Disiarkan pada: September 17, 2017 @ 2:42am
d