arena

'Tabik 'legenda' City!'

Oleh AFP

WATFORD, England: Pep Guardiola mahu Manchester City memberikan sanjungan terhadap Sergio Aguero apabila “legenda” Argentina itu muncul penjaring terbanyak mereka.

Aguero meledak hatrik (minit ke-27, 31 dan 81) ketika City membelasah Watford 6-0 di Vicarage Road malam tadi dan hanya ketinggalan dua gol di belakang rekod sepanjang zaman Eric Brook 177 gol pada 1920-an dan 30-an.

Bos City, Guardiola percaya ia kini hanya menanti masa Aguero mampu memecahkan rekod itu dan beliau berharap kelab boleh meraikan kejayaan itu dengan bergaya.

“Sergio kini memerlukan tiga gol untuk memecah rekod itu. Ia tidak lama lagi,” katanya.

“Harapnya kami boleh meraikannya dengan meriah kerana dia seorang legenda, sebahagian daripada sejarah kelab ini. Ia bagus buatnya.

“Dia seorang pemain yang saya perlu pengaruhi untuk bermain, bukan setakat menjaringkan gol.”

Guardiola turut memuji sikap tidak pentingkan diri Aguero apabila melanggar arahannya dengan membenarkan Raheem Sterling untuk menjaringkan sepakan penalti pada minit ke-89 yang melengkapkan kemenangan besar ke atas Watford.

“Sergio membuktikan sekali lagi dia seorang yang baik. Saya lebih suka penalti diambil oleh pengambil sepakan penalti tapi saya faham Raheem mencipta penalti itu dan saya bersyukur Sergio memberikan kepadanya ketika kedudukan sudah 5-0,” kata Guardiola.

Gabriel Jesus (m-37) dan Nicolas Otamendi (m-63) dua lagi penjaring City ketika mereka melonjak mengatasi jiran Manchester, United di tangga teratas Liga Perdana Inggeris.

Tidak seperti musim lalu apabila permulaan kempen menyaksikan mereka menang 10 perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan sebelum menamatkan musim tanpa sebarang trofi, Guardiola percaya pasukannya lebih bersedia kali ini untuk mengekalkan prestasi sepanjang musim.

Disiarkan pada: September 17, 2017 @ 10:23am
d