arena

Gembira atasi sasaran

Oleh Azlan Muhammad Zain

SKUAD trek negara mempamerkan dominasi penuh apabila meraih tujuh emas yang dipertandingkan pada hari pertama acara berbasikal trek di Velodrom Nasional, Nilai hari ini.

Kejayaan tujuh emas mengatasi sasaran enam emas yang ditetapkan bagi acara trek sekali gus menggembirakan ketua jurulatih negara, Johari Mohd Nayan.

“Sebenarnya sasaran kami pada hari pertama adalah empat emas kerana ada beberapa atlet baru yang tidak mempunyai maklumat dan data yang lengkap.

“Namun saya gembira dengan pencapaian hari ini selepas berusaha keras selama dua tahun dalam program menghadapi temasya Para ASEAN ini,” katanya.

Jelasnya, keyakinan turut menebal untuk menambah sekurang-kurangnya tiga daripada lima emas yang dipertandingkan esok.

“Jika mampu meraih 10 emas keseluruhan, kami sudah mencapai sasaran yang ditetapkan. Jika terdapat tambahan emas menerusi acara lebuh raya pada Rabu dan Khamis ini, ia adalah bonus,” katanya.

Skuad paracycling negara memulakan tuaian emas menerusi lima acara satu kilometer ujian masa pelbagai kategori yang dipertandingkan.

Paling cemerlang adalah gandingan Afiq Afify Rizan bersama pelumba jurumudinya, Khairul Adha Rasol yang meraih dua emas (satu kilometer ujian masa dan pecut).

Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais bersama pelumba jurumudinya, Noraidillina Adilla J Sam turut meraih emas acara satu kilometer ujian masa dan pecut wanita.

Disiarkan pada: September 17, 2017 @ 4:25pm
d