arena

Juve, Napoli bangkit ubati kecewa

Oleh AFP

MILAN: Juventus dan Napoli bangkit daripada kekecewaan Liga Juara-Juara untuk mengekalkan rekod sempurna dalam Serie A Itali sekali gus menyertai Inter Milan di tangga teratas, awal pagi tadi.

Hatrik Paulo Dybala membantu Juventus menang 3-1 di Sassuolo menjadikannya empat kemenangan dalam empat perlawanan buat juara bertahan itu manakala Dries Mertens turut menyumbat tiga gol ketika Napoli membelasah Benevento 6-0.

Inter Milan mengalahkan Crotone 2-0 kelmarin bagi meraih 12 mata maksimum dalam kempen semasa.

Benevento bukan tandingan buat Napoli, yang bangkit selepas kalah 1-2 kepada Shakhtar Donetsk dalam Liga Juara-Juara.

“Kami tidak bernasib baik di Ukraine,” kata Mertens, penyerang Belgium.

“Kami melakukan banyak kesilapan menentang Shakhtar dan tidak memperagakan aksi sebenar tapi hari ini kami membuktikan mampu melakukan pemusnah.”

Pemain tengah Brazil, Allan membuka tirai jaringan selepas tiga minit manakala Lorenzo Insigne menambah gol kedua pada minit ke-15 di Naples.

Mertens memulakan hatriknya dengan sepakan voli pada minit ke-27 dan kemudian menyempurnakan dua tendangan penalti dengan Jose Callejon turut berada dalam senarai penjaring pada babak pertama.

Napoli kini pendahulu baru Serie A menerusi perbezaan gol namun Mertens menolak sebarang percakapan mengenai kejuaraan.

“Masih satu perjalanan panjang, Inter dan Juve bertindak baik tapi kami akan lihatnya selepas perlawanan,” katanya.

Kehebatan Dybala membantu Juve bangkit selepas kalah 0-3 kepada Barcelona dalam Liga Juara-Juara.

Disiarkan pada: September 18, 2017 @ 11:12am
d