arena

Amaran 'keras' Hamilton

Oleh AFP

SINGAPURA: Lewis Hamilton melaungkan amaran kejuaraan Formula Satu dunia belum berakhir selepas kesilapan selekoh pertama Ferrari di Singapura meletakkannya di kedudukan terbaik merangkul kejuaraan dunia keempat.

Pemandu Mercedes itu menjangkakan reaksi balas kuat Ferrari selepas kedua-dua Sebastian Vettel dan Kimi Raikkonen terkeluar berikutan kemalangan di selekoh pertama.

Hamilton bergelut ketika kelayakan dan memulakan perlumbaan di petak kelima, namun dia memandu dengan hebat dalam hujan dan di bawah lampu limpah untuk membuka jurang 28 mata di depan Vettel dalam kejuaraan pemandu.

Pelumba Britain berusia 32 tahun itu menang tiga perlumbaan terakhirnya namun menyatakan perjalanan masih panjang dengan baki enam Grand Prix musim ini bermula di Malaysia minggu depan.

“Secara jujur, saya fikir ia pasti sengit dalam beberapa perlumbaan akan datang,” katanya, yang memberi amaran Ferrari pasti kuat di Jepun dan Brazil. “Sukar untuk diramal.”

Hamilton seorang daripada 12 pemandu yang menamatkan perlumbaan dalam hujan pertama di litar lampu limpah jalanan di Singapura, yang bermula dengan kemalangan dan tiga kali kereta keselamatan dimasukkan.

Pemenang petak utama Vettel dan petak ketiga Raikkonen menghimpit pemandu Red Bull, Max Verstappen menuju ke selekoh pertama menyebabkan kemalangan sekali gus menyebabkan ketiga-tiga pemandu terkeluar serta menamatkan aksi pemandu McLaren, Fernando Alonso.

Ditanya sama ada ia hukuman karma kerana insiden di Azerbaijan, apabila Vettel menang mengatasi Hamilton sekalipun melanggarnya, pemandu Britain itu berkata: “Saya tidak tahu sama ada ia karma tapi apa sekalipun ia mungkin ada kaitan.”

Verstappen berkata, tindakan Vettel menghalangnya pada permulaan perlumbaan satu risiko keterlaluan pemandu Jerman itu, yang mendahului 20 mata Julai lalu namun kini mungkin impiannya musim ini berakhir.

“Jika anda merebut kejuaraan dunia anda tidak boleh mengambil risiko sebegitu. Anda boleh lihat apa yang belaku,” kata Verstappen.

Bagi Vettel, pemenang empat kali di Singapura, ia malam malang dan mahu dilupakan berbeza ketika selepas kelayakan apabila dia melakar catatan sepusingan mengagumkan untuk menyambar petak utama.

“Tiada apa yang boleh kami lakukan sekarang dan sudah tentu ia melukakan dan sedih kami tidak memperagakan kepantasan kami hari ini,” katanya.

“Tapi kami ada perlumbaan lagi selepas ini dan saya yakin ada lebih banyak peluang buat kami.”

Disiarkan pada: September 18, 2017 @ 4:16pm
d