arena

'TRW kemah keming musim depe'

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) baru dipilih, Bibi Ramjani Ilias Khan memberi bayangan mereka sudah mempunyai penaja utama musim depan.

Beliau berkata, nama penaja yang masih belum didedahkan itu sudah mengesahkan berminat untuk bersama The Red Warriors (TRW) bagi musim 2018.

Pada masa sama, beliau berkata, KAFA sedang memuktamadkan rundingan dengan tiga syarikat bertaraf multinasional untuk membantu persatuan itu menguruskan perbelanjaan pasukan.

“Sebelum diumumkan presiden, saya ada berbincang untuk bawa masuk tiga syarikat multinasional bagi membantu KAFA. Cuma, kita masih belum putuskan sama ada mereka akan menjadi penaja KAFA atau penaja pemain import baru bagi musim depan.

“Saya berharap rundingan ini berjaya dan memberi sinar baru kepada KAFA, sekali gus mengembalikan kegemilangan Kelantan,” katanya pada sidang media di pejabat Media Prima Berhad (MPB), semalam.

Kongres KAFA kelmarin menyaksikan Bibi Ramjani memenangi kerusi presiden selepas mengalahkan Datuk Mohamad Nasir Hamzah yang juga Naib Presiden KAFA menerusi kelebihan 32 undi.

Bersamanya dalam delegasi kepimpinan KAFA 2018-2021 ialah Datuk Seri Afandi Hamzah yang kekal sebagai Timbalan Presiden, manakala tiga Naib Presiden membabitkan Datuk Aizuddin Mohd Ghazali, Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim.

Pengasas Desa Murni Batik Sdn Bhd itu berkata, fokus utamanya ketika ini adalah memastikan pasukan Kelantan dapat bermain dengan selesa musim depan dan akan berusaha menyelesaikan masalah berbangkit berkaitan pendaftaran pasukan.

Ini termasuk mengumpul RM3 juta sebagai dana permulaan pasukan.

“Bagaimanapun, saya menuntut pemain bersungguh-sungguh supaya Kelantan kekal dalam saingan Liga Super,” katanya.

Mengenai tunggakan gaji pemain dan hutang lain, beliau memberi jaminan masalah itu akan diselesaikan secepat mungkin dan ia menjadi agenda utama dalam mesyuarat pertama pengurusan KAFA yang baru.

Disiarkan pada: September 18, 2017 @ 8:13pm
d