arena

OCA nafi lanjut 'jemputan'

Oleh Reuters

ASHGABAT, Turkmenistan: Pemimpin berpengaruh Majlis Olimpik Asia (OCA) menafikan sebarang harapan atlet dari negara Oceania termasuk Australia dan New Zealand dibenarkan bertanding pada Sukan Asia bermula 2022.

Atlet dari kedua-dua negara itu menyertai Sukan Asia Musim Sejuk sebagai “jemputan” di Sapporo awal tahun ini dan Jawatankuasa Olimpik Australia menyatakan rundingan sedang diadakan untuk melanjutkan jemputan itu bagi versi musim panas.

Sembilan belas negara Oceania bertanding buat kali pertama pada temasya Sukan Dalam Dewan dan Seni Mempertahankan Diri Asia di Turkmenistan ketika ini namun Presiden OCA, Sheikh Ahmad Al Fahad Al Sabah berkata, temasya Sukan Asia sudah terlalu besar.

“Saya harap pada Sukan Dalam Dewan akan datang kami akan melalui pengalaman sama dan Oceania akan terus bersama kami dalam Sukan Dalam Dewan,” katanya sambil menambah Sukan Asia Pantai mungkin mempunyai pilihan buat atlet Oceania.

“Dengan Sukan Asia kami sudah mempunyai 15,000 atlet serta pegawai dan kami tidak boleh menambah angka itu.

“Pada Sukan Pantai dan Sukan Dalam Dewan kami boleh terus bekerjasama tapi bagi Sukan Asia angkanya terlalu tinggi dan kami tidak boleh mempunyai Perkampungan Sukan dengan lebih 15,000 orang.”

Sukan Asia tahun depan akan diadakan di Indonesia dengan edisi 2022 dijadualkan di Hangzhou, China.

Australia sudah lama melayan idea bekerja rapat bersama Asia dengan harapan dapat memberikan pendedahan serta pertandingan sengit buat atlet mereka.

Pada 2006, pasukan bola sepak kebangsaan Australia keluar daripada Oceania untuk menyertai Konfederasi Bolasepak Asia namun percubaan terdahulu untuk menyertai Sukan Asia gagal.

Mereka mendapat sokongan China, yang mahukan pertandingan lebih sengit terutama buat perenang mereka tetapi tidak bagi Sheikh Ahmad, yang juga presiden Persatuan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (ANOC) mewakili lebih 200 negara di seluruh dunia.

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 1:03pm
d