arena

Setahun dua lagi buat Kim Swee

Oleh Ibrahim Isa

KONTRAK pengendali pasukan Bawah 23 (B-23) Malaysia, Datuk Ong Kim Swee akan dilanjutkan setahun atau dua tahun lagi.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pada dasarnya kedua-dua pihak bersetuju untuk menyambung kontrak pengendali terbabit yang akan tamat hujung tahun ini.

"Bagaimanapun, kita akan mengadakan perbincangan dalam tempoh terdekat.

"Saya rasa perkara ini sudah jelas, Ong mahu berminat menyambung perkhidmatan dan kami tiada masalah untuk meneruskannya," katanya pada sidang media selepas majlis memperkenalkan Trofi Liga Super di Hotel Thistle, Johor Bahru, hari ini.

Dalam pada itu, Tunku Ismail berkata, skuad Harimau Malaya akan tetap bertandang ke Pyongyang, Korea Utara, 5 Oktober ini bagi menghadapi perlawanan kelayakan Piala Asia 2019.

Katanya, hasil perbincangan dengan Charge D'Affairs Korea Utara, Kim Yu Song, kerajaan republik berkenaan berjanji akan menjaga keselamatan, penginapan dan makanan pemain serta pegawai Malaysia.

"Mereka beri jaminan dan bersetuju ini adalah sukan dan tidak mahu mencampur aduk politik dengan sukan.

"Saya yakin dengan janji diberikan dan keselamatan pemain ketika berada di negara berkenaan," katanya.

Terdahulu Tunku Ismail memperkenalkan Trofi Liga Super di Hotel Thistle, Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamiddin Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam.

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 9:15pm
d