arena

Gol sulung Rodriguez

Oleh AFP

BERLIN: James Rodriguez menyumbat gol sulungnya dalam Bundesliga awal pagi tadi untuk membantu Bayern Munich melonjak ke tangga teratas buat kali pertama musim ini selepas menang 3-0 di Schalke 04.

Pemain Colombia itu terbabit dalam semua tiga gol selepas meraih sepakan penalti yang disempurnakan Robert Lewandowski bagi gol pembukaan sebelum hantaran lambungnya menyaksikan Arturo Vidal merembat masuk.

Selepas lima perlawanan, kemenangan di Gelsenkirchen meletakkan juara bertahan Bayern di puncak buat kali pertama namun Borussia Dortmund boleh merampas semula kedudukan itu jika mereka menang di Hamburg, awal pagi esok.

Kemenangan di laman lawan itu satu suntikan semangat buat Bayern yang mengesahkan penjaga gol dan kapten Manuel Neuer menjalani satu lagi pembedahan di kaki kirinya semalam dan berehat hingga Januari depan.

“Ia tidak mudah, tapi akhirnya kami mampu mendominasi,” kata pengganti Neuer, Sven Ulreich, kini mendapati dirinya sebagai penjaga gol nombor satu Bayern selepas mahu bersara pada musim panas lalu.

“Sudah tentu ia satu situasi sukar buat pasukan dan Manuel, tapi kami berharap dia akan kembali tidak lama lagi.”

Jurulatih Bayern, Carlo Ancelotti menggilirkan skuadnya dengan Rodriguez beraksi di sayap kanan satu daripada enam perubahan berbanding pasukan yang membenam Mainz 4-0, Sabtu lalu.

Rodriguez meraih penalti selepas 23 minit apabila video pembantu pengadil mengesahkan hantaran silangnya ditolak dengan tangan oleh pertahanan Schalke, Naldo.

Lewandowski merembat masuk penalti itu bagi gol keenamnya dalam lima perlawanan.

Rodriguez, yang mengikat perjanjian pinjaman dua tahun dari Real Madrid Julai lalu, kemudian merembat masuk pada minit ke-29 apabila Corentin Tolisso mengumpan kepadanya yang tidak dikawal langsung dalam kotak pemalti.

Hantaran lambung Rodriguez yang melepasi benteng pertahanan Schalke disempurnakan oleh Vidal pada minit ke-75.

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 11:17am
d