arena

Klopp berang aksi longlai

Oleh AFP

LONDON: Juergen Klopp mengakui beliau semakin menyampah dengan kelemahan benteng Liverpool selepas mereka tewas 0-2 di Leicester pada pusingan ketiga Piala Liga Inggeris.

Pasukan Klopp tersingkir apabila kealpaan benteng terakhir membenarkan Shinji Okazaki dan Islam Slimani untuk meledak gol buat Leicester pada babak kedua di Stadium King Power, awal pagi tadi.

Liverpool hanya dua kali tidak dibolosi sepanjang perlawanan musim ini dan dikritik hebat kerana persembahan hambar mereka.

Bos Reds, Klopp mengakui beliau kini bosan dengan persembahan longlai yang menyebabkan pasukannya tidak menang dalam empat perlawanan.

“Selepas gol pertama itu anda lihat pemain Leicester semakin bersemangat, itulah perbezaan ketaranya,” kata Klopp.

“Perlawanan berubah dalam saat seperti ini, anda berpeluang untuk melakukannya atau kadang-kadang anda berada di tempat yang salah dan itulah hakikatnya.

“Tapi kami melepaskan gol sebegini, ia membuatkan saya terlalu bosan.

“Kami masih pasukan bola sepak yang bagus, saya melihatnya, tapi sayangnya ia tidak sebegitu ketika ini kerana ia satu pertandingan piala.

“Kami mahu layak ke pusingan berikutnya dan tiada siapa berminat mengetahui siapa bermain lebih baik pada babak pertama.

“Cerita perlawanan ini terlalu mudah untuk diperkatakan, kami pasukan yang lebih baik pada babak pertama, kami bermain bola sepak yang bagus, kami tidak menjaringkan gol, ia kadangkala sebahagian daripada bola sepak.

“Tapi selagi kami melepaskan gol seperti hari ini, maka ia terlalu rumit.”

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 12:21pm
d