arena

Ada sinar buat Palace

Oleh Reuters

LONDON: Pengurus baru Crystal Palace, Roy Hodgson (gambar) menyatakan beliau boleh nampak cahaya di hujung terowong selepas kemenangan pertamanya mengendurkan sedikit tekanan di Selhurst Park, awal pagi tadi.

Perlawanan pertama kendalian Hodgson Sabtu lalu berakhir dengan kekalahan 0-1 di tangan Southampton, mencetus kekalahan kelima berturut-turut Palace dalam Liga Perdana Inggeris tanpa menjaringkan sebarang gol.

Gol tandukan Bakary Sako pada minit ke-12 membantu kemenangan 1-0 ke atas Huddersfield Town pada pusingan ketiga Piala Liga Inggeris dengan Palace sudah tewas kepada pendatang baru Liga Perdana itu pada hari pembukaan musim di bawah kendalian Ronald de Boer yang dipecat minggu lalu.

Ketika aksi liga menentang Manchester United, Manchester City dan Chelsea selepas ini, Palace mungkin berdepan lebih banyak keperitan namun Hodgson meraih sedikit rangsangan daripada kemenangan awal pagi tadi.

“Saya amat gembira dengan kemenangan ini dan persembahan babak pertama, terutamanya selepas kerja keras seminggu,” katanya.

“Masih banyak perlu kami lakukan secara taktikal bersama pemain hinggalah kami berpuas hati boleh menghasilkan tahap persembahan babak pertama bagi tempoh yang lebih lama.

“Bagaimanapun, agak tidak sopan jika saya tidak memuji pemain dan saya amat gembira dengan sumbangan mereka malam ini.”

Hodgson pernah membantu West Bromwich Albion dan Fulham berjuang mengelak daripada tersingkir ke liga bawahan namun tugasan di Palace dilihat satu cabaran lebih getir buat bekas pemgurus England berusia 70 tahun itu.

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 1:14pm
d