arena

Chong Wei hampir dimalukan

Oleh Helmi Talkah

JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei nyaris dimalukan sekali lagi di pusingan pertama.

Kali ini, dia dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan ke atas pemain Hong Kong, Wong Wing Ki 21-15, 16-21, 21-17 pada pusingan pertama Terbuka Jepun, malam tadi.

Bekas pemain nombor satu dunia itu yang kembali beraksi selepas terkandas di pusingan pertama Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, bulan lalu mengambil masa 59 minit bagi menumbangkan Wing Ki.

Di Glasgow, Chong Wei gagal dalam misinya memburu gelaran sulung Kejohanan Dunia apabila dikejutkan dengan kekalahan di tangan pemain Perancis, Brice Leverdez seawal pusingan pertama.

Chong Wei akan bertemu pemain Indonesia, Tommy Sugiarto bagi aksi pusingan kedua hari ini.

Sementara itu, perseorangan wanita negara, Soniia Cheah juga cemerlang apabila mara ke pusingan kedua hasil kemenangan ke atas Lee Chia Hsin dari Taiwan 21-13, 21-18.

Pemenang perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu akan bertemu pemain Amerika Syarikat, Zhang Baiwen, hari ini.

“Saingan Siri Super tidak pernah mudah dan saya cuba melakukan yang terbaik. Sejak berlatih dengan Tey Seu Bock (ketua jurulatih perseorangan wanita) prestasi saya menunjukkan peningkatan.

“Corak latihannya sesuai dengan saya dan beliau faham apa yang perlu dari aspek fizikal dan mental. Sasaran saya tahun ini untuk berada dalam kelompok 20 terbaik dunia tapi bukan mudah, saya perlu bekerja keras,” katanya yang ketika ini menghuni ranking ke-24 dunia.

Beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Pakin Kuna Anuvit 21-17, 18-21, 21-15 dan akan bertemu pilihan kelapan dari Taiwan Lee Jhe Huei-Lee Yang untuk merebut tempat ke suku akhir.

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 9:32pm
d