arena

Skuad B-16 ratah Singapura

Oleh Firdaus Hashim

SKUAD bawah 16 tahun negara (B-16) bermula garang dalam saingan Kumpulan J Kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-16 selepas membelasah Singapura 6-1 di Stadium Wibawa Mukti, Bekasi, Indonesia, hari ini.

Malaysia yang sudah layak lebih awal ke pusingan akhir tahun depan selaku tuan rumah, tidak menunggu lama untuk memimpin perlawanan apabila mendahului menerusi jaringan Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-5.

Selang enam minit kemudian, skuad kendalian Lim Teong Kim itu menggandakan jaringan menerusi Harith Haiqal Adam sebelum Luqman sekali lagi mencetak namanya pada minit ke-17.

Singapura yang sesekali menyerang akhirnya mengejutkan barisan pertahanan negara apabila meraih gol pertama menerusi Vasileios Chua pada minit ke-24.

Skuad negara yang sudah layak ke pusingan akhir kejohanan itu tahun depan selaku tuan rumah, kembali garang merobek kubu lawan hasil jaringan Amirul Azzim lima minit kemudian.

Sebaik babak kedua berlangsung, Malaysia menambah dua lagi gol, masing-masing menerusi Ahmad Zikri Khalili pada minit ke-55 dan Firdaus Kaironnisam pada minit ke-67.

Malaysia akan meneruskan saingan menentang Guam Jumaat ini, manakala jaguh Asia, Jepun berdepan Singapura pada aksi seterusnya.

Terdahulu, Jepun yang berpesta jaringan membaham Guam 20-0 untuk memimpin kumpulan walaupun mempunyai mata sama dengan skuad negara kerana jumlah gol besar.

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 11:08pm
d