arena

Gergasi Merah hampa

Oleh Aziman Rosdi

Selayang: Misi Selangor untuk menamatkan kempen Liga Super di tangga kedua musim ini semakin sukar selepas tewas 1-2 kepada PKNS FC pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.

PKNS FC sebaliknya memanfaatkan tiga mata dimiliki dalam perlawanan itu untuk terus menyelamatkan diri daripada dikejar pasukan kelompok bawahan.

Sebelum turun beraksi di Selayang, PKNS FC yang menduduki tangga ketujuh liga dengan hanya mengumpul 21 mata selepas 19 perlawanan memerlukan kemenangan untuk menjarakkan diri daripada zon penyingkiran.

Pasukan pelawat yang dibimbing Muhammad Adam Abdullah itu garang di awal permainan dan berjaya membuka tirai jaringan menerusi rembatan Shahrul Azhar Ture di minit ke-25.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila penyerang import Selangor yang meledak dua gol ketika tewas 2-3 kepada Kedah pada suku akhir pertama Piala Malaysia Sabtu lalu, Rufino Segovia sekali lagi menemui sentuhan dengan melakukan sepakan deras di minit ke-34.

Nyata ketiadaan Razman Roslan dan Ugo Ukah di bahagian pertahanan yang direhatkan oleh jurulatih P Maniam bagi perlawanan penting suku akhir kedua di Alor Setar Sabtu ini amat dirasai apabila benteng pertahanan Selangor bocor di minit ke-64.

Bekas pemain pinjaman Red Giants musim lalu Patrick Ronaldinho tidak mensia-siakan peluang di dalam kotak penalti untuk menyumbat gol kemenangan PKNS FC.

Kekalahan itu menyaksikan Selangor kekal di tempat kelima liga dengan 30 mata dengan saingan berbaki dua perlawanan.

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 2:11am
d