arena

Juve, Napoli rampas takhta Inter

Oleh AFP

MILAN: Juara bertahan Juventus dan Napoli kembali ke tangga teratas Serie A selepas mereka meneruskan kempen sempurna awal pagi tadi sekali gus menyaksikan kedudukan terdahulu Inter Milan dirampas.

Penyerang Croatia, Mario Mandzukic menjaringkan gol buat Juventus yang menang 1-0 ke atas musuh lama Fiorentina di Turin ketika Napoli bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum membenam Lazio 4-1 di Rome.

Juventus dan Napoli mengutip 15 mata maksimum selepas lima perlawanan, dua di depan Inter Milan yang terikat 1-1 di Bologna awal pagi semalam.

Stefan de Vrij membolehkan Lazio mendahului pada babak pertama ke atas Napoli, namun tuan rumah bangkit pada separuh masa kedua dengan tiga gol dalam tempoh empat minit termasuk jaringan mnakjubkan Dries Mertens.

Selepas babak pertama yang tegang, Mandzukic menyumbat gol pembukaan buat Juventus menerusi tandukan terbang selepas 53 minit berikutan hantaran silang Juan Cuadrado.

Fiorentina beraksi 10 pemain bagi setengah jam terakhir selepas pemain tengah Milan Badelj dibuang padang.

“Perlawanan sebegini mengajar anda untuk menang anda perlu berusaha, 1-0 satu keputusan baik,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri menjelang pertembungan jiran setempat Turin hujung minggu ini.

“Napoli seperti Inter, Milan dan Roma adalah pencabar kami. Kami perlu melangkah dengan tenang, satu demi satu langkah. Pertembungan jiran setempat amat menarik, kami ada beberapa hari untuk pulih.”

Napoli membenam Lazio sekalipun pasukan kendalian Simone Inzaghi bermula garang apabila pertahanan De Vrij membuka tirai jaringan selepas 29 minit.

Namun kecederaan dialami Bastos dan kemudian De Vrij mengubah haluan buat Napoli dengan tiga gol dalam tempoh empat minit.

Pertahanan Senegal, Kalidou Koulibaly menyamakan kedudukan selepas 54 minit dan kemudian Jose Callejon menambah satu lagi dua minit kemudian diikuti percubaan mengagumkan Mertens sebelum Jorginho melengkapkan gol keempat menerusi sepakan penalti.

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 12:29pm
d