arena

Akibat sikap Sampson dipecat

Oleh AFP

LONDON: Pengurus pasukan bola sepak wanita England, Mark Sampson (gambar) dipecat awal pagi tadi kerana bukti “sikap dan perangai yang tidak boleh diterima” ketika masanya bersama kelab terdahulu.

Sampson menjadi subjek dakwaan perkauman, gangguan berkali-kali dan buli yang dibuat bekas pemain England, Eni Aluko.

Namun pengendali berusia 34 tahun itu, yang bebas daripada pertuduhan itu, sebaliknya disingkir oleh Persatuan Bolasepak (FA) England berikutan siasatan mengenai tindakannya ketika menjadi pengurus Akademi Bristol.

“Persatuan Bolasepak mengesahkan kontrak Mark Sampson sebagai ketua jurulatih wanita England ditamatkan berkuat kuasa serta-merta,” menurut satu kenyataan FA.

Sampson, tahun lalu bersetuju dengan kontrak baru untuk kekal sebagai jurulatih pasukan kebangsaan hingga 2019, dipecat kurang 24 jam selepas mengemudi kemenangan besar 6-0 England ke atas Russia pada kelayakan Piala Dunia.

Sebagai tindak balas kepada dakwaan Eni, pemain Sampson sengaja meraikan gol pertama menentang Russia dengan berlari ke arah jurulatih itu, mencetus kritikan Eni dalam media sosial.

Ketua eksekutif FA, Martin Glenn mengakui persatuan itu berasakan mereka tiada pilihan selain berpisah dengan Sampson selepas butiran terperinci isu Bristol didedahkan.

Penyerang Chelsea, Eni mendakwa Sampson memberitahunya supaya memastikan sanak saudaranya dari Nigeria tidak membawa virus Ebola ke perlawanan persahabatan menentang Jerman di Wembley pada November 2014.

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 1:33pm
d