arena

Final Liga Juara-Juara di Wanda Metropolitano

Oleh AFP

MADRID: Stadium baru Atletico Madrid dengan kapasiti 68,000 Wanda Metropolitano akan menjadi hos final Liga Juara-Juara 2019, umum badan induk bola sepak Eropah UEFA, awal pagi tadi.

Disebabkan mereka satu lagi calon untuk final itu, ibu negara Azerbaijan, Baku dipilih sebagai tuan rumah final Liga Europa 2019 sebagai sagu hati kerana terlepas pertandingan utama itu.

Budapest akan menjadi hos final Liga Juara-Juara wanita, manakala Piala Super Eropah antara pemenang Liga Juara-Juara dan Liga Europa akan berlangsung di gelanggang Besiktas, Vodafone Park di Istanbul.

Ditaja konglomerat China, Wanda, yang membeli 20 peratus saham di Atletico pada 2015, kelab itu membuka Wanda Metropolitano berharga 310 juta euro (RM1.5 bilion) buat kali pertama Sabtu lalu ketika Atletico menewaskan Malaga 1-0 dalam aksi La Liga.

“Bagi saya ia stadium terbaik pernah saya beraksi dan saya tidak katakannya hanya kerana ia kelab saya,” kata penyerang Antoine Griezmann selepas menjaringkan gol sulung di gelanggang baru itu.

“Sebagai pemain atau jurulatih saya tidak pernah menyaksikan sesuatu seperti ini,” ujar jurulatih Atletico, Diego Simeone.

Menurut laporan akhbar sukan harian Sepanyol, Marca, kapasiti hotel Madrid dan yang berdekatan lapangan terbang antarabangsa Barajas menjadi antara faktor Madrid dipilih.

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 1:43pm
d