arena

KL2017 bukan medan terakhir

Oleh Aida Adilah Mat

BAKAL menyambung pelajaran Disember ini di Wales, Carmen Lim menegaskan temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur bukanlah yang terakhir buatnya.

Usia yang baru menjengah 17 tahun membuatkan dia bersemangat mengejar lebih banyak kejayaan dengan mengimpikan untuk mewakili negara di temasya Paralimpik Tokyo 2020 selepas menyumbang emas kepada negara menerusi acara 50 meter gaya bebas S8 (kecacatan anggota).

“Saya akan menyambung pelajaran dalam jurusan undang-undang dan Sukan Para ASEAN ini bukan yang terakhir.

“Saya masih muda dan akan kembali menyertai kejohanan lain selepas ini dan jika boleh saya mahu ke Paralimpik Tokyo. Tapi, saya tahu perlu usaha lebih keras lagi.

“Selain belajar saya mungkin akan menyertai pertandingan di Wales. Bagaimanapun, pelajaran akan menjadi keutamaannya dan akan cuba mengimbangi antara pelajaran dan sukan,” katanya.

Mendedikasikan emas yang diraihnya itu kepada mendiang ibunya Angie Ng yang meninggal dunia tiga tahun lalu, Carmen menjadi penyumbang tunggal buat kem renang negara pada hari keempat acara itu di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Carmen melakar catatan 36.48s untuk emas dan lebih manis ia berjaya memecahkan rekod miliknya sendiri yang dilakukan di Singapura dua tahun lalu 39.14s.

Carmen menewaskan pesaing dari Thailand, Thongbai Chaisawan (39.56s) perak manakala gangsa milik Nor Aimah dari Indonesia (41.28s).

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 8:10pm
d