arena

United kurang hutang makin kaya

Oleh BBC Sport

MANCHESTER United dilapor mencatat peningkatan pendapatan sebanyak £581j (RM3.3 bilion) bagi tahun kewangan 2017 dengan nilai penyiaran turut meningkat.

Pencapaian berpunca daripada kejayaan menjulang Liga Europa dan Piala EFL sebelum ini.

Kelab itu menandatangani 12 perjanjian penajaan dengan pendapatan hari perlawanan dan komersil juga meningkat.

United menikmati peningkatan ketara daripada segi pendapatan televisyen domestik untuk musim 2016-17.

Ia adalah musim pertama daripada perjanjian selama tiga tahun bagi hak penyiaran di United Kingdom (UK).

Setakat 30 Jun lalu, pendapatan penyiaran meningkat kepada £194.1j (RM1.1 bilion) berbanding £140.4j (RM797 juta) tahun sebelumnya dengan peningkatan 38%.

Kelab itu kembali beraksi dalam kancah Liga Juara Juara (UCL) selepas menjulang gelaran Liga Europa menewaskan Ajax di Stockholm pada Mei lalu.

"Kami melengkapkan kejayaan musim 2016-17 dengan jumlah keseluruhan tiga trofi dan kembali beraksi dalam UCL," kata naib pengerusi eksekutif, Ed Woodward.

Red Devils juga memenangi kejuaraan Perisai Komuniti musim lalu.

"Kami terharu dengan pelaburan dalam skuad kami dan tidak sabar menghadapi saingan lebih mencabar musim ini."

Upah pekerja termasuk pemain skuad meningkat sebanyak 13% disebabkan peningkatan terhadap gaji pemain skuad utama.

Kos operasi musim lalu mencecah £511.3j (RM2.9 bilion) tetapi ia mempamer peningkatan £74.7j (RM425 juta) atau 17.1% berbanding tahun sebelumnya.

Malah nilai hutang juga menurun £47.8j (RM272.2 juta) menjadi £213.1j (RM1.2 bilion).

Kelab Old Trafford itu menduduki tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Skuad kendalian Jose Mourinho mengumpul mata serta jaringan sama dengan pendahulu, Manchester City.

Disiarkan pada: September 22, 2017 @ 9:07pm
d