arena

Laluan sukar Chong Wei berdepan pemain China

Oleh Helmi Talkah

Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menjangka, dia akan berdepan perlawanan sukar apabila turun menentang pemain China, Shi Yuqi dalam aksi separuh akhir Terbuka Jepun, hari ini.

Chong Wei semakin hampir dalam misi memburu gelaran ketujuh Terbuka Jepun selepas mengesahkan tempat ke separuh akhir dengan mengetepikan cabaran pilihan keempat dari Taiwan, Chou Tien Chen 21-11, 15-21, 21-19, semalam.

Chong Wei sedang dalam usaha membina semula tahap keyakinannya susulan kekalahan mengejut di pusingan pertama Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, bulan lalu.

“Apabila sudah mara ke separuh akhir, sudah pastinya perlawanan akan bertambah sukar. Dengan usia saya yang semakin meningkat dan menentang pemain yang lebih muda, ia memang akan menjadi perlawanan yang sukar.

“Saya perlu lebih fokus esok (hari ini). Saya tidak mahu fikir banyak sebaliknya fokus satu demi satu perlawanan,” kata Chong Wei ketika dihubungi di Tokyo, semalam.

Pemain berusia 35 tahun itu sudah enam kali bergelar juara Terbuka Jepun bermula 2007, 2010, 2012, 2013, 2014 dan 2016.

Bagi jurulatih yang mengiringi Chong Wei di Tokyo, Tey Seu Bock, pemain itu belum mencapai tahap prestasi sebenarnya tetapi menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan.

“Sekarang bukan lagi soal siapa lawan Chong Wei tetapi lebih kepada dirinya sendiri. Dia secara perlahan mendapat semula keyakinannya dan saya harap ia akan terus meningkat apabila dia bertemu Sho Yuqi,” katanya.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang tersingkir di suku akhir.

Mereka tewas kepada pasangan Jepun, Takuto Inoue-Yuki Kaneko 15-21, 18-21.

Disiarkan pada: September 23, 2017 @ 1:35am
d