arena

Bola Shebby: Suku akhir kedua ada kejutan?

Oleh Serbegeth Singh

Sudah sekian lama saya tidak merasakan kehangatan sebegini di dalam kancah bola sepak Malaysia. Perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2017 kembali memuncak dengan situasi istimewa selepas beberapa keputusan yang begitu menarik di perlawanan pertama.

Yang menariknya adalah jumlah jaringan gol yang dapat di capai beberapa pasukan. Bekalan ‘away goals’ seperti yang dicapai pasukan pilihan, Johor DT, Kedah dan PKNP sudah meletakkan ketiga-tiga pasukan itu sebagai calon separuh akhir. Sementara itu, Pahang pula berbekal kelebihan dua gol apabila berkunjung ke Stadium Perak di Ipoh.

Perlawanan di Stadium Hang Jebat di antara pasukan juara Liga Super 2017, Johor DT dan Melaka United sudah dijangka memihak kepada Harimau Selatan. Dengan keputusan 4-1 memihak kepada Johor DT maka perlawanan di Stadium Larkin pula bakal menjadi pesta gol sekali lagi. Selepas mempamerkan satu persembahan yang hebat di separuh masa pertama perlawanan Liga Super menentang Kelantan pertengahan minggu dan menjulang trofi teristimewa kejuaraan maka Johor DT harus meletakkan petanda psikologi ke atas Piala Malaysia.

Air muka beberapa pemain yang hanya sekadar perhiasan pasukan Johor DT jelas kelihatan malu kerana tidak memainkan peranan ketika mereka dinobatkan selaku juara. Pemain seperti S Chanturu, Nazmi Faiz Mansor, Gopinathan serta Azamuddin Akil tidak boleh berpuas hati dengan menjadi pemain pilihan ketiga di dalam skuad. Sekiranya ada di antara pemain itu diturunkan menentang pasukan Melaka maka gunakanlah peluang ini untuk mencari majikan baru. Atau mungkin pemain terbabit sudah puas hati sekadar menjadi pemain profesional sambilan?

FELDA United pula bangkit selepas dimalukan di tempat sendiri oleh PKNP di suku akhir pertama dengan kemenangan ke atas Kedah di Liga Super. Adakah FELDA sudah memberi yang terbaik sebelum perlawanan suku akhir kedua menentang PKNP?

PKNP pula mempunyai pemain penyerang yang menjadi ‘natural finisher’ terbaik di Malaysia dan FELDA harus mempunyai strategi bagaimana mengunci Shahrel Fikri (gambar). Pemain itu tidak akan menjadi pilihan ramai jurulatih kerana tidak mempunyai saiz seperti Darren Lok atau Jafri Chew Abdullah tetapi keistimewaannya terletak pada gerakan ketika dia menjaringkan gol.

Pertemuan yang menarik menanti kita dengan kehadiran sekurang-kurangnya sebuah pasukan kelab di separuh akhir.

Pahang pula akan berdepan ribut di Stadium Perak apabila tuan rumah beraksi di ‘final’. Itulah bayangan terbaik perlawanan antara Perak dan Pahang. Walaupun ketinggalan dua gol tetapi gol jaringan di Kuantan bakal membantu semangat pemain Perak. Adalah tidak mustahil bagi Perak untuk mara ke separuh akhir walaupun perlu mencari kemenangan minimum dua gol tanpa bolos.

Perlawanan paling berkualiti peringkat suku akhir pertama berlangsung di Stadium Selayang di mana pasukan tuan rumah, Selangor tewas di tangan Kedah. Perlawanan itu menampilkan corak aksi kompetitif serta berlangsung dalam tempo tinggi.

Kedah beraksi secara bertahan sejak mula dan ia agak mengejutkan tuan rumah. Penyerang Selangor, Francis Forkey Doe sekali lagi longlai manakala Rufino Segovia pula memerlukan terlampau banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Jelas pada perlawanan pertama bahawa Selangor bangkit sejurus Andik Vermansyah dibawa masuk dan pemain dari Indonesia itu sekali lagi menjadi harapan mencipta peluang di Alor Setar. Walaupun Selangor mengaku kalah pada akhirnya tetapi mereka pasti mengenang tandukan hebat Adam Nor Azlin yang melewati palang di awal permainan.

Begitu tipis perbezaan antara kedua pasukan itu tetapi sekali lagi Kedah bijak mengurus perlawanan selepas berada di hadapan.

Kita yakin bahawa perlawanan kedua akan lebih hebat dan pengadil memerlukan mental yang kuat untuk mengawal barisan pemain kelak.

Selain daripada perlawanan di antara Johor DT dan Melaka, ketiga perlawanan suku akhir kedua begitu sukar untuk diramal.

Disiarkan pada: September 23, 2017 @ 1:55am
d