arena

TRW tiada pilihan kecuali benam PKNS

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Kota Bharu: Kelantan tidak ada pilihan kecuali menang perlawanan menentang PKNS FC, Rabu ini untuk kekal dalam Liga Super, kata Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan .

Beliau menyifatkan pertemuan itu sebagai perlawanan akhir memandangkan kedudukan pasukan The Red Warriors (TRW) yang sudah berada di hujung tanduk.

Ketika ini, TRW menduduki tempat ke 10 dalam liga selepas mengharungi 20 perlawanan dengan catatan 18 mata menerusi enam kemenangan, tiga seri dan 11 kekalahan.

Usahawan itu juga mahu semua pemain bertanggungjawab dan menggalas tugas masing-masing dengan baik untuk beraksi pada perlawanan itu nanti.

“Saya minta pemain... tolonglah jangan hampakan penyokong anda dan beraksi sebaik mungkin untuk memenangi perlawanan ini serta baki yang ada.

“Anda mempunyai tanggungjawab untuk pastikan Kelantan kekal dalam saingan. Penyokong juga saya harap dapat bersatu untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada TRW.

“Datanglah ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan,” katanya.

Kelantan mempunyai baki dua perlawanan iaitu menentang PKNS FC, Rabu ini di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu serta Melaka United pada 21 Oktober.

Dalam perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (Johor DT) di Stadium Larkin, TRW tewas 0-3 sekali gus menyaksikan tuan rumah muncul juara Liga Super buat kali keempat berturut-turut.

Bibi Ramjani juga dalam usaha menyelesaikan urusan pendaftaran pasukan yang perlu memenuhi beberapa syarat termasuk berkaitan soal kewangan.

Sebelum ini, beliau menjelaskan bahawa pihaknya masih berunding dengan beberapa syarikat termasuk tiga syarikat multinasional untuk membantu KAFA.

Disiarkan pada: September 23, 2017 @ 2:07am
d