arena

Kurang sengat tanpa Neymar

Oleh AFP

PARIS: Jurulatih Paris Saint-Germain, Unai Emery menjangkakan Neymar kembali daripada kecederaan bagi aksi Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich Selasa ini selepas pasukannya bergelut seri 0-0 di Montpellier awal pagi tadi ketika ketiadaan bintang Brazil itu.

Neymar terlepas perlawanan itu sesudah mengalami kecederaan kaki kanan dan PSG menyaksikan permulaan sempurna musim Ligue 1 mereka berakhir dalam aksi pertama tanpa pemain berusia 25 tahun itu sejak perpindahan dengan rekod dunia dari Barcelona.

“Kami akan menanti hingga esok (hari ini) untuk mengetahui mengenai keadaannya,” kata Emery.

“Masih ada tiga hari untuk mempersiapkan diri bagi perlawanan itu tapi saya fikir jika semuanya berjalan lancar dia akan kembali.”

Kelab dari ibu negara itu hanya mendahului di tangga teratas liga satu mata di depan juara bertahan AS Monaco yang membenam Lille, Jumaat lalu.

Emery mahukan pemainnya mampu merobek benteng pertahanan lawan yang degil tanpa pemain perancang utama mereka itu.

“Kami perlukan semua pemain, apabila seorang pemain tidak beraksi adalah penting untuk mengekalkan tahap dan rentak,” ujar pengendali dari Sepanyol itu, selepas pasukannya hanya melakukan satu percubaan tepat ke arah gol.

“Saya tidak boleh menyatakan perlawanan itu berbeza dengan kehadiran Neymar.

“Kami akan beraksi banyak perlawanan dengan Neymar musim ini tapi kami perlu bekerja tanpa seseorang pemain.”

Bintang sedang meningkat Kylian Mbappe meraih peluang terbaik pelawat di Stade de la Mosson, namun pemain berusia 18 tahun itu membazirkan peluang di depan pintu gol.

Disiarkan pada: September 24, 2017 @ 10:57am
d